Jadikan sejarah orang Melayu sebagai iktibar - Utusan Malaysia

Jadikan sejarah orang Melayu sebagai iktibar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

FILEM Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan arahan Syamsul Yusof telah menjadi fenomena di Malaysia apabila diiktiraf filem paling tinggi kutipan tiket di negara ini. Selepas 33 hari ditayangkan di pawagam, ia telah mengutip sebanyak RM90 juta, mengatasi filem Hollywood, Avengers: Endgame yang mengutip RM87 juta di Malaysia sebelum ini.

Bagaimanapun, kebanyakan orang Melayu yang menonton filem itu masih ingatkah ungkapan penting dalam salah satu babaknya? Ia seharusnya dijadikan pedoman kepada kita semua pada saat-saat negara bakal menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sedikit masa lagi.

Antara dialog dalam filem itu yang harus dihayati adalah menyentuh betapa pentingnya perpaduan orang Melayu: “Orang Melayu tidak pernah bersatu, sebab itu mereka senang untuk dijajah dan dipijak, mereka saling menjatuhkan sesama sendiri.

“Jika mereka (orang Melayu) bersatu, sejuta senjata kamu pun tidak berguna lagi kerana perpaduan mereka adalah senjata orang Melayu yang paling hebat.”

Perubahan landskap politik negara pada PRU14 tahun 2018 lalu menyaksikan buat kali pertama selepas lebih enam dekad mentadbir negara, Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO gagal mengekalkan kuasa mereka bagi membentuk kerajaan.

Kekalahan UMNO-BN bukanlah akar sebenar kepada berlakunya krisis perpaduan Melayu yang telah terpisah secara politiknya kepada tiga kelompok utama yang menyokong UMNO, Pas dan PKR tetapi sebagai satu isyarat untuk menyedarkan orang-orang Melayu, khasnya pemimpin kaum itu tentang pentingnya perpaduan.

Munculnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menambahkan lagi kekalutan politik yang sedia ada.

Orang Melayu akan hilang kuasa politiknya jika masih tidak bersatu dan bercakaran sesama sendiri. Implikasinya jelas, jika tidak ditangani dengan segera, maruah kaum Melayu akan tergadai.

Khianat

Frasa ketuanan Melayu itu cuma tinggal menjadi tatapan sejarah. Dengan bahasa lebih mudah, kaum lain akan mentadbir dan menguasai tanah air ini yang pada suatu ketika dahulu dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu.

Orang Melayu jangan lupa kepada sejarah kaum itu dan tentang hakikat, ada pemimpin yang datang dan ada pula pemimpin yang pergi. Sampai waktunya, pemimpin lain pula akan menggantikan mereka yang telah pergi.

Namun, yang paling penting kepada orang Melayu adalah perjuangan untuk terus membangunkan anak bangsa, tidak berpecah belah, berpuak-puak dan bersengketa sesama sendiri.

Orang Melayu seharusnya menjadikan tragedi kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka kepada Portugis suatu ketika dahulu sebagai iktibar dan pengajaran yang berguna.

Punca kejatuhan terbabit antaranya angkara perbuatan khianat pembesar Melayu sendiri pada ketika itu yang mementingkan kepentingan dan laba peribadi dari maruah kaum sendiri.

Jangan kita lupa bagaimana sukarnya orang orang Melayu di dalam usaha menentang gagasan Malayan Union. Pemimpin Melayu pada ketika ini tak kira dari pihak kerajaan ataupun pembangkang perlu mencontohi pemimpin-pemimpin Melayu terdahulu seperti Tok Janggut dan Mat Kilau.

Pemimpin yang ikhlas untuk menjulang perjuangan orang Melayu akan sentiasa bersatu padu, tidak berpecah belah dan amanah dalam perjuangan.

Persengketaan sesama pemimpin-pemimpin Melayu dilihat bukan sahaja melambatkan proses memajukan kaum itu tetapi ia akan menolaknya menjadi etnik yang lebih jauh ke belakang. – UTUSAN

NADZIR AWANG AHMAD @ SAID
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya