SAUDARA PENGARANG,
SEBELUM ini ada yang mengatakan Gerakan Tanah Air (GTA) hanya retorik politik. Mari imbau apa yang berlaku di negara kita beberapa tahun kebelakangan ini.
Kita mula dengan kepimpinan kerajaan yang tidak cekap dan agak huru-hara. Rakyat sendiri mengalaminya apabila negara di uji dengan pandemik Covid-19. Bagaimana persediaan negara semasa dan selepas ancaman Covid-19 dari segi ekonomi, pendidikan dan sosial? Rakyat tidak berpuas hati. Kemudian pemimpin bertukar tetapi barisan Kabinet tidak berubah, maka hasilnya tetap sama.
Kemudian rasuah. Kita mulakan dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan SRC International Sdn. Bhd. dan pemimpin tertinggi negara. Dahulunya Malaysia digelar Harimau Asia kerana kepesatan ekonomi, kini dikenali dengan skandal rasuah antara yang terbesar di dunia. Kita berada dalam senarai lima teratas.
Timbul pula kes kontrak pembekalan projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) yang agak besar. Ditambah pula kes pembelian helikopter yang penghantarannya tak tiba-tiba lagi. Kes rasuah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram sedang berlangsung di mahkamah melibatkan pemimpin-pemimpin parti memerintah negara. Yang menyedihkan, semua yang terlibat adalah orang Melayu/Islam.
Malaysia dipersendakan dalam sebuah episod siri jenayah televisyen The Blacklist sebagai syurga mengubah wang haram kerana kaitannya dengan rasuah. Dan sebuah filem India, Kaduva merujuk syarikat dari Malaysia yang mengamalkan rasuah.
Inilah keadaan negara kita dan kedudukan maruah orang Melayu hari ini. Disebabkan semua yang berlaku inilah, maka GTA ditubuhkan.
Sesuatu perlu dibuat jika orang Melayu mahu diselamatkan. GTA adalah sebuah gerakan orang Melayu bertujuan memulihkan negara dan mengembalikan maruah Melayu di dunia.-UTUSAN
AZMAN MOHD. HASHIM
Ahli Majlis Eksekutif Pusat
Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang)