Cabar kesahihan RUU GEG di mahkamah, bukan media

Cabar kesahihan RUU GEG di mahkamah, bukan media

KERATAN akhbar Utusan Malaysia, 13 September 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA merujuk kepada rencana bertajuk RUU GEG: Kita masih belum bersedia yang ditulis oleh penganalisis undang-undang, Datuk M. Reza Hassan dalam Utusan Malaysia pada 13 September lalu. Penulis berhujah bahawa Rang Undang-undang Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok 2022 atau lebih dikenali sebagai RUU GEG adalah tidak berperlembagaan dan melanggar Perkara 5 dan 8. Hujahnya adalah salah tanggap.

Beliau gagal untuk memahami tujuan RUU GEG ini ialah untuk mengelak kematian yang boleh dicegah akibat daripada menghisap tembakau.

Perkara 5 menjamin hak kebebasan seseorang tetapi tiada seorang pun yang berhak untuk mencederakan atau membunuh dirinya sendiri atau orang lain, dan untuk mengenakan beban kewangan yang berat ke atas sistem penjagaan kesihatan kita.

Penggunaan tembakau merupakan punca utama penyebab kanser di negara ini. Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mendedahkan Malaysia merekodkan 400 kematian seminggu akibat merokok seperti kanser, strok atau penyakit jantung.

Dianggarkan tujuh juta perokok di Malaysia selain mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghidap penyakit yang boleh membawa maut ini, mungkin mengalami gejala seperti kesukaran bernafas, bunyi berdehit atau sakit dada.

Dilaporkan kerajaan membelanjakan RM6.2 bilion untuk merawat tiga penyakit utama berkaitan merokok pada 2020. Ia merupakan dua kali ganda daripada hasil RM3 bilion yang dijana daripada penjualan tembakau. Tiga penyakit utama berkaitan dengan merokok ialah kanser paru-paru, penyakit jantung dan paru-paru obstruktif kronik (COPD).

Perkara 8 adalah bertujuan untuk menghapuskan larangan sewenang-wenangnya dalam undang-undang yang digubal. Rang undang-undang yang dibentangkan di Parlimen bukanlah sewenang-wenangnya tetapi bagi meneruskan hak untuk hidup seperti termaktub dalam Perkara 5.

Tujuannya untuk menyelesaikan masalah ketagihan nikotin sejak dari awal lagi. Menghisap tembakau adalah satu ketagihan yang diperoleh selama bertahun-tahun dan oleh sebab itu rang undang-undang ini bertujuan menghentikannya dengan menyasarkan generasi muda. Secara bertahap dalam masa beberapa tahun, penamat kepada tembakau ini boleh dicapai.

Malaysia merupakan penandatangan kepada Konvensyen Rangka Kerja mengenai Kawalan Tembakau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FCTC), perjanjian pelbagai hala yang mengikat secara sah dengan tujuan mengurangkan penggunaan tembakau dan pendedahan kepada asap tembakau. Kita komited untuk mengambil langkah bagi mencapai objektif FCTC dan RUU GEG adalah hasilnya.

Kerajaan telah melaksanakan pelan strategik untuk mematuhi komitmen kita di bawah FCTC. Pelan Strategik Kebangsaan Kawalan Tembakau 2015-2020 (NSPTC) bertujuan memperkukuhkan lagi pelaksanaan kawalan tembakau di negara ini.

NSPTC mempunyai sasaran jangka sederhana untuk mengurangkan kelaziman merokok kepada 15 peratus menjelang 2025 serta sasaran jangka panjang bagi mencapai ‘penamat’ tembakau di Malaysia menjelang 2045. RUU GEG ini telah difikirkan dengan baik, rasional dan satu perundangan yang munasabah untuk mencapai objektif NSPTC dan FCTC.

Sebelum dibentangkan di Parlimen, ia telah diteliti oleh Jabatan Peguam Negara untuk memastikannya mematuhi perlembagaan kita. Ia kini dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas yang menangani isu berperlembagaan dan penguatkuasaan.

Nampaknya tiada masalah mengenai isu pertama dan kerajaan juga bersetuju dengan beberapa perubahan dalam isu kedua. Forum yang sesuai untuk mencabar kesahihan undang-undang yang digubal oleh Parlimen ialah mahkamah dan bukannya media.

Selepas RUU GEG ini menjadi undang-undang, sesiapa sahaja yang tidak berpuas hati dengannya boleh mencabar.-UTUSAN

MOHIDEEN ABDUL KADER
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya