Tutup segala ruang amalan rasuah - Utusan Malaysia

Tutup segala ruang amalan rasuah

PELAN Antirasuah Nasional 2019-2023 baik untuk mengembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENDEDAHAN mengenai kepincangan projek perolehan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai berbilion-bilion ringgit perlu diambil perhatian serius oleh semua pihak.

Menurut Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), kerajaan telah membayar sejumlah RM6.08 bilion untuk projek tersebut, namun tiada sebuah LCS disiapkan.

Ini memberikan gambaran jelas terdapat kepincangan dan kelemahan dalam sistem tadbir urus pihak-pihak yang mengelola projek iaitu kerajaan dan kontraktor.

Dari sisi pandang orang awam, sistem pentadbiran kerajaan kini tidak lagi selamat. Kelemahan kawalan dan pemantauan terhadap projek yang dilaksanakan membuka ruang berlakunya amalan rasuah yang memberi kesan negatif dan menyebabkan kerugian besar kepada negara.

Kerajaan perlu menilai semula dan memperkemaskan sistem prosedur kerja dalam memastikan setiap peluang yang boleh menjurus kepada amalan rasuah dapat ditutup sebaiknya.

Penilaian terhadap kontraktor perlu dibuat dengan lebih teliti melalui pelbagai saringan serta kawalan terperinci dalam menunjukkan keseriusan kerajaan untuk melaksanakan sesuatu projek.

Semua pihak perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik dalam memastikan perkara seperti ini tidak berlaku lagi.

Elemen integriti perlu dipasakkan dalam jati diri setiap penjawat awam dan pihak berkepentingan dalam memastikan amalan rasuah dapat dibendung.

Berpeganglah kepada semangat Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 yang dilihat baik dalam meningkatkan imej negara dan mengembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran negara.

Ia memerlukan komitmen, dedikasi dan kerjasama di semua peringkat sama ada kerajaan mahupun korporat.

Setiap pihak perlu bersama-sama meningkatkan nilai integriti diri dan bertekad membendung amalan rasuah seiring slogan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRPM) iaitu Rasuah Dihina, Maruah Dibina. – UTUSAN

NORAINI SAPUAN, Penolong Pendaftar Unit Integriti, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya