Moga Najib tabah, tenang lalui kehidupan baharu - Utusan Malaysia

Moga Najib tabah, tenang lalui kehidupan baharu

SEMOGA Najib Tun Razak (tengah) tenang menghadapi kehidupan baharunya di Penjara Kajang. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA bersyukur dan amat gembira dengan beberapa perkembangan mutakhir khususnya keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini yang membuat keputusan memihak kepada saya mengenai tahanan tidak sah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Kebenaran telah muncul untuk membuktikan perjuangan saya membuat laporan kes skandal 1Malaysia Development Berhad (IMDB) di Singapura, Hong Kong, Perancis, Switzerland, United Kingdom dan Amerika Syarikat mempunyai asas.

Setelah membuat laporan di enam negara tersebut, apabila pulang ke tanah air, saya ditangkap oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan terus didakwa di bawah SOSMA.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyatakan saya ditangkap kerana cuba mensabotaj sistem perbankan dan ekonomi negara kononnya.

Pada realitinya, saya telah berkorban tenaga, wang ringgit dan keselamatan diri membuat laporan kepada penguat kuasa undang-undang di luar negara atas dasar untuk menyekat wang 1MDB daripada terus ‘dirompak.’

Perjuangan untuk menegakkan kebenaran ini berhasil dan selepas hampir tujuh tahun, Tuhan mahupun sistem perundangan menunjukkan kebenarannya dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membuat penghakiman memihak kepada saya dengan memberikan ganti rugi RM300,000.

Bagaimanapun, saya telah mengarahkan peguam untuk memfailkan rayuan ke atas keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana kurang puas hati dengan jumlah ganti rugi yang ditetapkan.

Tekanan

Tahanan tidak sah saya adalah selama dua minggu di dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan dua bulan dimasukkan ke dalam Penjara Sungai Buloh.

Jumlah pampasan agak tidak setimpal dengan penganiayaan yang saya terima pada waktu itu dengan pelbagai tekanan daripada kerajaan ke atas diri saya.

Perkara keduanya, saya bersyukur kerana sekali lagi Tuhan dan Mahkamah Persekutuan menunjukkan kebenaran dengan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Najib dimasukkan ke Penjara Kajang dan terpaksa melalui ujian ini selama 12 tahun. Sebagai seorang yang beragama Islam, saya tidak pernah berdendam dengan Najib.

Insya-Allah, saya akan terus berdoa agar Najib tenang menghadapi kehidupan baharunya dan semoga beliau terus muhasabah.

Apabila Allah SWT menunjukkan kebenarannya maka Najib dan keluarganya mestilah menerima dengan hati terbuka. Pada realitinya juga, ‘pengkhianatan’ Najib kepada bangsa dan negara tidak boleh dimaafkan sama sekali.

Tetapi setiap penganiayaan yang Najib lakukan kepada saya dari 2014 sehingga 2018, saya ampunkan kesilapan beliau dunia dan akhirat.

Ini adalah ajaran agama Islam yang tulen berteraskan al-Quran serta sunnah yang sentiasa menggalakkan kita saling memaafkan antara sesama manusia.

Semoga Najib tabah serta tenang menghadapi penghidupan baharu di Penjara Kajang dan iringan doa agar keseluruhan ahli keluarga beliau juga tabah menghadapi ujian ini. – UTUSAN

KHAIRUDDIN ABU HASSAN, Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.