Jangkitan semula Covid-19 semakin meningkat - Utusan Malaysia

Jangkitan semula Covid-19 semakin meningkat

Pesakit Covid-19 yang diwadkan seramai 661 orang dan kes yang memerlukan rawatan di ICU pula 87 kes.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEJAK kebelakangan ini, kes jangkitan semula Covid-19 dalam kalangan masyarakat semakin meningkat. Wad di hospital semakin sesak dengan kemasukan pesakit Covid-19.

Malah, tahap jangkitan bagi pesakit Covid-19 dilihat semakin teruk. Kebanyakan kes yang direkodkan merupakan jangkitan semula.

Namun, mengapakah terdapat kes jangkitan semula Covid-19 sedangkan majoriti rakyat Malaysia sudah menerima vaksin termasuk dos penggalak untuk penyakit itu?

Jangkitan semula boleh disebabkan oleh dua faktor, iaitu imuniti terhadap Covid-19 sama ada daripada jangkitan pertama atau vaksinasi menurun dengan cepat dan berlaku mutasi virus.

Kunci kepada keberkesanan vaksin bergantung kepada kebolehan antibodi untuk mengenal pasti bahagian protein spike virus SARS-CoV-2. Sebelum varian Omicron ditemui, vaksin Covid-19 terbukti dapat memberi perlindungan termasuk daripada varian Delta.

Hal ini kerana antibodi yang dihasilkan oleh pemvaksinan dapat mengenal pasti protein spike pada varian Delta dan meneutralisasikan virus tersebut. Berbanding varian Delta, kajian menunjukkan varian Omicron mempunyai 37 mutasi yang berlaku pada protein spike varian tersebut.

Disebabkan mutasi yang banyak, ini menyebabkan varian Omicron boleh mengelak daripada antibodi dihasilkan oleh vaksin. Ia juga bermaksud antibodi daripada sistem imun badan ataupun vaksinasi mungkin dapat memberi perlindungan yang kurang kepada jangkitan varian Omicron berbanding varian-varian sebelumnya.

Pada peringkat awal pandemik Covid-19, risiko jangkitan semula hanya dilaporkan lebih kurang satu peratus tetapi dengan kehadiran Omicron, risiko itu meningkat 10 kali ganda. Kehadiran subvarian Omicron BA.4 dan BA.5 memburukkan lagi keadaan.

Ini bermakna jangkitan awal dan vaksinasi bukanlah petanda kita tidak akan dijangkiti, terutamanya di kala Omicron dan subvarian BA.5 dan BA.4 sedang menular.

AFRIKA

Dalam pada itu, golongan berisiko ialah mereka yang mempunyai daya imuniti rendah yang tidak dapat menghasilkan tindak balas imun tinggi terhadap jangkitan atau vaksinasi. Antara golongan ini ialah perempuan mengandung, warga tua, warganegara yang mempunyai komorbiditi, individu mempunyai sistem imun rendah atau mendapat vaksinasi tidak lengkap.

Golongan yang turut berisiko mendapat jangkitan semula ialah mereka yang tidak divaksinasi. Kajian di Afrika melibatkan subvarian BA.4 dan BA.5 menunjukkan kedua-duanya berupaya untuk menyebabkan jangkitan dalam kalangan mereka yang telah dan tidak divaksinasi. Namun, risikonya lebih tinggi dalam kalangan yang tidak divaksinasi.

Sebenarnya jangkitan berulang kali sedikit sebanyak mempengaruhi kehidupan seseorang. Ini kerana mereka terpaksa dikuarantin dan boleh menjejaskan kerjaya, persekolahan dan pendapatan.

Disebabkan kuarantin tidak lagi dikawal oleh pihak berwajib, ada kemungkinan mereka yang dijangkiti tidak menjalani kuarantin dan menyebarkan virus kepada orang lain.

Kebanyakan jangkitan semula dilaporkan tidak menyebabkan gejala teruk. Namun, ia juga bergantung kepada tahap imuniti seseorang. Covid-19 berpanjangan juga dilaporkan selepas jangkitan semula dalam kalangan mereka yang telah dan tidak divaksinasi. Antara gejala Covid-19 berpanjangan ialah kelesuan dan gangguan fungsi kognitif (otak).

Situasi jangkitan semula ini dilihat sebagai satu amaran untuk kita lebih berhati-hati tentang kemungkinan munculnya varian baharu lebih kebal terhadap antibodi sedia ada atau yang lebih ‘ganas’ daripada Omicron. – UTUSAN

DR. LIYANA AZMI & PROFESOR MADYA DR. NURUL AZMAWATI MOHAMED, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya