SAUDARA PENGARANG,
SAYA dikategorikan sebagai seorang pesakit mental, namun pada masa sama perlu mencari nafkah untuk ahli keluarga walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran hidup hari ini.
Saya merupakan seorang pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan Paloh, Johor. Saya lakukan kerja dengan baik meskipun menghadapi pelbagai rintangan.
Cuma satu, saya tidak dapat menghadiri kursus latihan certified security (CSG) disebabkan masalah mental. Ini kerana mental saya tidak kuat dan ia diakui pakar psikiatri dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Saya perlu memakan sebiji ubat penenang setiap hari dan memerlukan tidur sekurangkurangnya 12 jam untuk kelangsungan hidup. Malah, saya baru sahaja sembuh daripada penyakit tibi. Dalam masa sama, saya turut menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.
Sudah hampir 20 tahun saya bertugas sebagai pengawal keselamatan dan sepanjang tempoh berkhidmat, tidak pernah mendatangkan sebarang masalah, malah tiada aduan diterima baik daripada pihak sekolah ataupun ibu bapa. Pun begitu, kontrak sebagai pengawal keselamatan akan berakhir pada September ini dan perkara ini menyebabkan saya buntu.
Cuma tinggal lebih kurang dua bulan lagi untuk saya bekerja. Sekiranya mahu terus bekerja, saya memerlukan sijil CSG sebagai salah satu syarat wajib dan sudah pastilah saya tidak mampu lakukannya.
Stigma masyarakat atau syarikat tentang masalah mental menjejaskan kehidupan saya sebagai pemegang kad orang kurang upaya (OKU). Persepsi negatif oleh masyarakat terhadap pesakit mental menyebabkan
saya kehilangan sumber pendapatan untuk menyara keluarga.
Saya berharap ada pihak di luar sana yang prihatin terhadap masalah yang saya hadapi dan sudi membantu meringankan bebanan ini. Saya hanya mahu kembali bekerja bagi meneruskan kelangsungan hidup.-UTUSAN
ABDUL KADIR MOHAMMAD
Paloh, Johor