Pemimpin jangan hanya tumpu politik - Utusan Malaysia

Pemimpin jangan hanya tumpu politik

MUHYIDDIN Yassin mempengerusikan mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) di Kementerian Kewangan, Putrajaya pada 14 Jun lalu. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini terdapat desakan daripada pemimpin-pemimpin politik supaya Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibubarkan.

Desakan itu dimulakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan, 30 Jun lalu.

Menurutnya, MPN yang ditubuhkan tahun lalu hanyalah platform untuk memberikan Muhyiddin peluang menaikkan imej diri sendiri serta parti beliau dan tidak semestinya bersuara demi rakyat dan kepentingan negara.

Tambahnya, peranan MPN yang hanya berfungsi sebagai penasihat kerajaan sudah diambil oleh badan pemikir berwibawa seperti Institut Penyelidikan Khazanah (KRI).

Desakan Ahmad Zahid itu turut disokong bekas-bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bagi saya, desakan untuk membubarkan MPN membuktikan pemimpin terbabit tidak mengendahkan nasib dan masa hadapan negara, sebaliknya hanya sibuk berpolitik.

MPN yang ditubuhkan ketika Muhyiddin masih menjawat jawatan Perdana Menteri telah merangka Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang berjaya membawa negara keluar dari kemelut pandemik Covid-19 dengan jayanya melalui empat fasa.

Cabaran

Hasilnya, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dari suku keempat 2021 apabila negara berada pada fasa keempat PPN berada pada tahap positif dan memberangsangkan.

Ini dipandu oleh peningkatan aktiviti ekonomi dalam beberapa sektor utama seperti pembuatan dan peningkatan eksport negara selari dengan pembukaan penuh sektor-sektor ini.

Namun, seperti mana kita sedia maklum, cabaran ekonomi global pada tahun ini amat berat. Perang di Ukraine dan sekatan pergerakan berpanjangan di China telah meningkatkan tekanan inflasi domestik berikutan gangguan rantaian bekalan terutama bahan makanan.

Untuk meredakan tekanan inflasi global, bank pusat seperti di Amerika Syarikat telah menaikkan kadar faedah untuk menundukkan tekanan inflasi.

Apabila kadar faedah naik, kos pinjaman juga naik, maka aktiviti ekonomi mungkin menjadi lemah terutama jika perniagaan menjangkakan bank pusat akan menaikkan lagi kadar faedah.

Sebagai negara berdagang, Malaysia turut terasa tempias cabaran ekonomi global hari ini. Seperti yang kita lihat dan rasai, harga barang naik mendadak. Semua ini memberi risiko kepada proses pemulihan ekonomi negara.

Bubar

Dalam negara berhadapan cabaran seperti ini adalah tidak wajar untuk sesetengah pihak mendesak MPN dibubarkan.

MPN berfungsi sebagai badan penasihat kerajaan yang dianggotai menteri Kabinet, ahli Parlimen dari pembangkang, pakar ekonomi, tokoh korporat dan pakar sosioekonomi.

Pemikir-pemikir ini mempunyai pengalaman dan kepakaran yang diiktiraf dalam bidang masing-masing. Dalam keadaan negara berhadapan krisis ekonomi yang begitu berat, majlis seperti ini memberi keyakinan kepada komuniti perniagaan dan pelabur tentang hala tuju ekonomi negara.

Proses pemulihan negara daripada pandemik bukan sesuatu yang mudah dan akan mengambil masa yang panjang.

Adalah amat naif jika pemimpin-pemimpin politik berpendapat bahawa MPN perlu dibubarkan hanya kerana kita sudah masuk ke fasa endemik Covid-19 dan Kabinet telah menubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa lain seperti Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.

Ketepikan pemikiran sempit dan desakan berbaur politik serta jadilah pemimpin yang berjiwa besar dan mengutamakan agenda negara serta rakyat. – UTUSAN

DR. M. JOHARI, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya