Panjangkan tempoh pembiayaan pinjaman peribadi

Panjangkan tempoh pembiayaan pinjaman peribadi

BANK Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak tiga kali tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KITA sekarang sedang berhadapan dengan krisis ekonomi terbaru iaitu inflasi yang turut berpunca daripada perang antara Ukraine dan Russia.

Maka pelbagai tekanan terus menghimpit isi rumah rakyat yang rata-rata baru sahaja hendak ‘bernafas’ semula.

Beberapa langkah sebelum ini telah diambil oleh kerajaan bagi membantu rakyat menghadapi cabaran semasa yang bertali arus termasuk pemberian moratorium 1.0 dan 2.0, skim pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Citra dan i-Lestari serta penetapan gaji minimum RM1,500.

Saya lihat masih ada satu lagi cara bagi mengurangkan beban rakyat dan menambahkan kecairan dalam pasaran tempatan iaitu dengan memanjangkan semula tempoh pembiayaan peribadi dari maksimum 10 tahun sekarang mungkin kepada 20 atau 30 tahun.

Pada 2013, Bank Negara Malaysia ( BNM) telah memendekkan tempoh bayaran balik pinjaman peribadi dari 25 ke 10 tahun manakala bagi pembiayaan perumahan dari 45 ke 35 tahun.

Dalam keadaan ekonomi semasa, memanjangkan semula tempoh pembiayaan peribadi dari 10 ke 20 atau 30 tahun boleh membantu mengurangkan beban kewangan ansuran bulanan dan meningkatkan jumlah pendapatan boleh guna rakyat.

Rakyat akan mempunyai lebihan wang tunai yang boleh digunakan untuk menampung keperluan harian di samping menambahkan kecairan wang dalam pasaran dan membantu memulihkan semula ekonomi negara.

Langkah ini tidak menambahkan kos dan beban kewangan tambahan kepada kerajaan kerana tiada sebarang wang tunai diperlukan bagi tujuan ini.

Langkah tersebut dapat menyelamatkan ramai individu daripada muflis dan bankrap seperti dalam laporan akhbar sebelum ini.

Semoga kerajaan dapat membantu memanjangkan tempoh bayaran balik pembiayaan peribadi dari 10 ke 20 atau 30 tahun dan pembiayaan perumahan dari 35 ke 45 tahun. – UTUSAN

DR. NAZRUL IZZUAN MOHAMAD IDRIS, Seberang Jaya, Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN