fbpx

Malaysia kekal pilihan utama pelancongan halal

MALAYSIA masih berjaya meyakinkan para pelancong muslim untuk memilih negara ini sebagai destinasi utama untuk dikunjungi.

SAUDARA PENGARANG,

MALAYSIA mengekalkan kedudukan teratasnya sebagai destinasi pelancongan halal pilihan dalam Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) MasterCard- CrescentRating 2022 dan turut memenangi Destinasi Mesra Muslim Teratas di Anugerah Pelamcongan Halal yang berlangsung di The Great Room, Singapura.

Turkiye, Arab Saudi dan Indonesia berada di kedudukan kedua manakala Singapura terus menjadi destinasi pelancongan mesra Muslim teratas dalam kalangan destinasi bukan ahli Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) diikuti Taiwan, Thailand dan United Kingdom.

Walaupun berdepan pandemik Covid-19, Malaysia masih berjaya meyakinkan para pelancong Muslim bagi memilih negara ini sebagai destinasi utama untuk dikunjungi. Begitu juga dengan para pelabur yang masih meneruskan pelaburan walaupun kebanyakan sektor ditutup sewaktu pandemik.

Malah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri memberi jaminan kerajaan dan pihak berkepentingan industri akan terus mempromosikan pengunjung Islam ke Malaysia sebagai destinasi pelancongan pada masa hadapan termasuk memberi anjakan dalam persekitaran pelancongan.

Antara faktor Malaysia kekal menjadi pilihan utama adalah negara ini terkenal dengan masakan halal yang mudah didapati, pantai-pantai yang menakjubkan, budaya yang unik, pengalaman membeli-belah yang indah serta menyediakan pelbagai pakej pelancongan mesra Muslim untuk pelancong meneroka sejarah, seni bina masjid, warisan, gastronomi, alam semula jadi, seni dan budaya.

Kelebihan umat Islam sebagai penduduk majoriti juga menjadi faktor penyumbang pelancong Muslim memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan kerana ketersediaan fasiliti mesra Muslim.

Ini sekali gus memberi kelebihan untuk memanfaatkan infrastruktur sedia ada yang merangkumi surau, makanan halal dan tandas mesra air.

Dalam pada itu, untuk memastikan Malaysia terus kekal relevan, Pusat Pelancongan Islam (ITC) sentiasa berusaha untuk melakukan yang terbaik bagi memudahkan pengembara Islam menunaikan kewajipan agama sepanjang perjalanan mereka.-UTUSAN

INTAN MAISARAH ZOLKIFLI
Pelajar Program Pengajian Sarjana
Komunikasi Media Baharu
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!