SAUDARA PENGARANG,
PADA 16 Jun lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar meluahkan kekecewaan terhadap tindakan Kerajaan Persekutuan yang seolah-olah menganaktirikan negeri itu sedangkan Johor antara penyumbang utama ekonomi negara, iaitu hampir RM13 bilion setiap tahun.
Baginda berasa dukacita kerana tiada kerja-kerja penyelenggaraan terhadap infrastr16uktur awam yang terdapat di negeri itu seperti hospital dan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar yang daif.
Oleh itu, saya ingin berkongsi pengalaman tentang penyelenggaran bangunan milik Kerajaan Persekutuan seperti hospital, klinik, balai polis, pejabat pos, dewan orang ramai, sekolah dan sebagainya.
Ada benarnya teguran Sultan Johor tentang kedaifan sesetengah bangunan kerajaan seperti hospital yang tidak diselenggara dengan betul.
Sehingga kini, adakah teguran baginda itu mendapat maklum balas daripada pihak berkuasa atau masih lagi dalam keadaan tidak terurus, dibiarkan sahaja rosak, tidak dibaiki atau hanya menunggu mendapat yang baharu?
Kakitangan kerajaan ialah tulang belakang pentadbiran negara dan sudah sepatutnya kebajikan mereka mendapat perhatian tinggi daripada pihak pemerintah seperti tempat bekerja yang selesa dan kondusif.
Penjawat awam juga berhak bekerja di persekitaran bersih, ada tempat letak kereta berbumbung, kantin untuk kakitangan makan dan minum pada waktu rehat serta kuarters kakitangan yang selesa.
Jasa kakitangan kerajaan dalam menyumbangkan khidmat mereka diambil perhatian menerusi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) yang diadakan setiap tahun dan juga pemberian sagu hati menjelang hari raya dan bonus pada hujung tahun.
Walaupun banyak insentif diberikan oleh kerajaan, namun kemudahan fizikal seperti bangunan pejabat dan kuarters tidak dijaga dengan baik seperti cat yang sudah pudar.
Usang
Ada kuarters sudah usang kerana dibina pada 1970-an tetapi masih digunakan dan mengguna pakai pendawaian lama yang tidak selamat. Mengapa tidak dibina kuarters baharu yang lebih moden dan selesa untuk penjawat awam?
Selain itu, di sekeliling rumah pekerja pula kelihatan rumput panjang. Apabila pergi ke belakang bangunan, kita akan terjumpa perabot lama yang dilonggokkan.
Mengapa tidak dilupus sahaja atau dipindahkan keluar ke tempat penyimpanan atau stor supaya nampak kemas dan teratur?
Keadaan tandas bangunan kerajaan pula kotor, seolah-olah tidak pernah dicuci membuatkan pengunjung tidak selesa untuk melepaskan hajat.
Ada kemudahan seperti astaka atau dewan tidak digunakan dan hanya dipenuhi kerusi rosak dan serpihan perabot sahaja. Selain itu, bangunan dan tempat letak kenderaan yang dibina pada 1970-an, tidak lagi sesuai dengan pertambahan pekerja dan pelawat.
Sudah sampai masanya kerajaan menilai kembali kemudahan yang disediakan untuk kegunaan penjawat awam ini supaya sesuai dengan peredaran zaman.
Kalau boleh lakukan kerja penyelenggaraan secara berkala supaya wang yang dibelanjakan untuk membina bangunan kerajaan ini tidak disia-siakan.
Akhirnya, pekerja yang tinggal di kuarters kerajaan diharapkan mengambil berat dan sama-sama menjaga kemudahan yang disediakan.
Jangan kita hanya ada kemampuan membina tetapi gagal dalam menjaga dan lebih parah lagi, tiada siapa atau agensi yang bertanggungjawab menyelenggara fasiliti tersebut. – UTUSAN
ABDUL HAMID
Temerloh, Pahang