SAUDARA PENGARANG,
TANGGAL 7 Julai lalu, gempar seluruh tanah air dengan berita dukacita hampir 400 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang kerana penipuan agensi pelancongan yang tidak bertanggungjawab.
Paling mengejutkan ialah kerugian keseluruhan insiden tersebut mencecah RM2.37 juta. Sudahkah kita lupa baru-baru ini, seorang pesara wanita ‘lesap’ RM264,950 kerana diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai pejabat pos dan pegawai polis dari Sabah?
Pada pertengahan Jun lepas, seorang wanita berusia 66 tahun mengalami kerugian lebih RM4.3 juta akibat terpedaya dengan sindiket Love Scam selepas berkenalan dengan seorang lelaki kononnya warganegara Amerika Syarikat (AS) menerusi laman sosial Facebook.
Saban hari, ada sahaja laporan kes penipuan terpapar di dada akhbar dan di portal berita. Kegiatan keji tanpa mengira umur mangsa ini semakin bermaharajalela.
Anehnya, mengapa kes penipuan ini masih berterusan sedangkan Malaysia telah menguatkuasakan akta-akta yang cukup relevan sebagai usaha membanteras jenayah licik ini?
Antara akta itu ialah Seksyen 420 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan menipu secara curang untuk mendorong secara memperdayakan bagi penyerahan wang atau harta benda mangsa kepada dirinya.
Jika disabit kesalahan, boleh dipenjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan hukuman sebat serta boleh juga dikenakan denda.
Undang-undang sudah ada, namun di mana perbicaraannya? Sudah terang lagi bersuluh, peratusan pelaksanaan tindakan bagi kes-kes komersial ini amat rendah dan tidak sejajar dengan laporan-laporan yang diterima pihak berkuasa.
Proaktif
Akibatnya, penjenayah licik ini naik kepala dan galak berlegar-legar di luar sana. Wahai pihak berkuasa, jangan pandang sepi rungutan warganet.
Peruntukan undang-undang berkaitan jenayah penipuan perlu digubal seiring peredaran teknologi bagi memberi lebih kuasa kepada pihak berwajib sekali gus memastikan hukuman setimpal dikenakan terhadap pelaku yang terlibat.
Pada waktu sama, kerajaan tidak sepatutnya mengelak serta memandang sebelah mata akan kemelut yang melanda negara ini. Adakah kita sudah lali dengan jenayah yang menjerut ini? Sepatutnya kerajaan perlu cipta langkah proaktif dan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mencegahnya.
Mengapakah masih riuh rakyat marhaen yang ditipu? Apakah kita tidak pernah membelek akhbar, menjenguk portal berita atau ambil berat kes-kes penipuan ini? Apakah kita rasa diri kita gah dan kebal kerana kita bijak, terpelajar dan semestinya tidak mungkin ditipu oleh penipu durjana ini?
Di sini dapat kita lihat, pendedahan terhadap kesedaran modus operandi jenayah penipuan mahupun jenayah komersial di Malaysia belum mencapai tahap yang cemerlang. Wahai pihak autoriti, manfaatkanlah kuasamu. Maksimumkanlah penggunaan platform-platform penyiaran dengan kempen serta informasi tentang jenayah keji ini.
Wahai pempengaruh media sosial dan pereka kandungan kreatif, inilah masanya. Gunakanlah saluran media sosial untuk tujuan memberi kesedaran, kebaikan kepada orang awam bukannya mencipta kandungan ‘bodoh’ atas dasar mahu meningkat bilangan yang melihat semata-mata. – UTUSAN
FARHANAH AZLEE
Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)