SAUDARA PENGARANG,
KEBELAKANGAN ini banyak berlaku wabak influenza (demam selesema) terutama dalam kalangan penghuni asrama sekolah sehingga menimbulkan kebimbangan ibu bapa. Ramai yang keliru perbezaan antara influenza dengan Covid-19.
Ada juga yang berkali-kali melakukan ujian kendiri Covid-19 apabila bergejala, namun mendapat keputusan negatif. Penularan penyakit influenza ini dapat dikawal serta dicegah melalui kaedah-kaedah tertentu.
Influenza adalah sejenis jangkitan saluran pernafasan yang disebabkan oleh virus yang sering menjangkiti manusia, iaitu influenza A dan influenza B.
Virus influenza A terbahagi kepada banyak jenis berdasarkan struktur protein yang terdapat pada virus. Contohnya, influenza A H1N1 dan H3N2.
Influenza A adalah satu-satunya yang berupaya untuk menyebabkan pandemik atau wabak di seluruh dunia seperti yang berlaku pada 2009 (H1N1). Influenza B pula dibahagikan mengikut susur galur asal virus, contohnya Yamagata dan Victoria.
Di negara empat musim, wabak influenza terjadi pada musim sejuk setiap tahun. Ini bermakna wabak berlaku pada akhir tahun di hemisfera utara manakala hemisfera selatan dilanda wabak pada pertengahan tahun.
Di seluruh dunia, influenza menyebabkan kira-kira tiga hingga lima juta jangkitan serius dan lebih setengah juta kematian akibat gangguan sistem pernafasan. Angka kematian yang tinggi dicatatkan dalam kalangan bayi dan warga emas. Di Malaysia, influenza berlaku sepanjang tahun.
Ia merebak melalui cecair atau titisan dari tekak serta mulut yang terlepas ke udara. Ini boleh berlaku apabila seseorang pesakit batuk, bersin atau bercakap. Ia juga boleh merebak melalui tangan yang dicemari oleh virus influenza.
Influenza boleh dicegah dengan vaksin. Orang awam terutama golongan berisiko tinggi digalakkan mendapatkan suntikan vaksin influenza.
Vaksin ini perlu diambil setiap tahun kerana kandungan vaksin influenza berubah-ubah setiap tahun supaya sepadan dengan jenis virus influenza yang diunjurkan menular pada setiap musim.
Terkini, setiap vaksin quadrivalen mengandungi dua jenis virus influenza A dan dua jenis virus influenza B. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. NURUL AZMAWATI MOHAMED & PROFESOR MADYA DR. MOHD. DZULKHAIRI MOHD. RANI, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)