Ubi gadong ganti tepung gandum - Utusan Malaysia

Ubi gadong ganti tepung gandum

UBI gadong mempunyai beberapa keistimewaan seperti kandungan kanji yang tinggi serta kandungan gluten rendah berbanding tepung gandum. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

GANDUM adalah salah satu tanaman bijirin tertua yang menyumbang kepada salah satu komoditi utama bagi sumber bekalan makanan dunia.

Tanaman ini kaya dengan kandungan karbohidrat dan menjadi makanan ruji bagi sesetengah negara terutama negara membangun.

Pada 2020, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu merekodkan jumlah pengeluaran gandum dunia sebanyak 776.6 juta tan metrik.

Jumlah ini dijangka akan meningkat kepada 790 juta tan metrik pada 2022. Peningkatan pengeluaran ini adalah sejajar dengan penggunaan gandum dunia yang dijangka mencapai 798.63 juta tan metrik pada 2022.

Pada 2015, Malaysia mengimport sebanyak 1.4 juta tan metrik gandum dan jumlah ini meningkat kepada 1.8 juta tan metrik pada 2020.

Krisis Russia dan Ukraine serta tindakan India menghentikan eksport gandum ke pasaran dunia boleh memberi kesan kepada pasaran tempatan.

Bagaimanapun, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyatakan perkara itu tidak menjejaskan bekalan negara kerana kita mengimport 80 peratus gandum dari Australia.

Dalam pada itu, ubi gadong yang merupakan sejenis tumbuhan liar yang boleh didapati dengan banyaknya di negara tropika dan subtropika, termasuk Malaysia boleh dijadikan bahan alternatif.

Ia boleh digunakan bagi menggantikan tepung gandum dalam menghasilkan kepelbagaian produk makanan dan bakeri konvensional.

Selain kandungan karbohidrat yang mampu mencapai 80 peratus daripada berat keseluruhan, ciri fisiologinya adalah mampu bertahan dalam cuaca tidak menentu.

Ini menyebabkan tumbuhan berkenaan sering mendapat permintaan tinggi daripada komuniti luar bandar di Pantai Timur pada musim tengkujuh.

Kandungan rendah gluten sesuai diambil oleh mereka yang mempunyai alahan terhadap gandum dan penyakit ketidakselesaan pencernaan serta kerosakan tisu di usus kecil.

Kandungan serat ubi gadong boleh membantu melancarkan sistem penghadaman, memperbaiki penyakit kardiovaskular dan menurunkan paras kolesterol serta obesiti. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. AHMAD FAIZAL ABDULL RAZIS & DR. ZUBAIDAH AIMI ABDUL HAMID, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya