SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan kerajaan akan membawa masuk kira-kira 60,000 pengawal keselamatan warga asing dari Bangladesh, Pakistan dan Nepal yang menepati kriteria khas ditetapkan untuk memenuhi permintaan sektor keselamatan dalam negara.
Saya memohon agar kerajaan mengkaji implikasi menambah dua negara sumber baharu iaitu Bangladesh dan Pakistan selain Nepal seperti sedia ada bagi membekalkan pengawal keselamatan asing ke negara ini.
Perkara ini perlu dipertimbangkan dengan teliti kerana jawatan pengawal keselamatan tidak sama seperti sektor lain yang bebas mengambil pekerja asing dari banyak negara sumber berbeza.
Skop kerja bidang kawalan keselamatan yang melibatkan tugas menjaga harta, nyawa serta membantu pelanggan menjalankan sesuatu urusan sebaiknya diamanahkan kepada pengawal keselamatan warga Malaysia dengan hanya sedikit kuota untuk warga asing.
Sektor ini agak unik kerana selama ini hanya warga asing dari Nepal yang dibenarkan diambil bekerja sebagai pengawal keselamatan. Pengambilan warga Nepal pula adalah disebabkan reputasi mereka terutama etnik Gurkha yang dipandang tinggi dalam hal melibatkan keselamatan.
Pasukan bersenjata di negara-negara jiran seperti Brunei dan Singapura sebagai contoh mempunyai unit khas Gurkha sendiri. Tidak perlu buka negara sumber baharu jika standard pengawal yang dibekalkan lebih rendah daripada pengawal Gurkha.
Isu keselamatan juga perlu diambil kira dalam membawa masuk pengawal warga asing. Rakyat tempatan yang ingin memohon jawatan dalam sektor ini perlu menjalani tapisan keselamatan pihak berkuasa sebelum dibenarkan bekerja.
BAHASA MELAYU
Bagaimana pula untuk memastikan pengawal warga asing yang bakal dibawa masuk bebas daripada rekod jenayah? Sukar untuk membuat tapisan jika jumlah yang bakal dibawa masuk dalam bilangan agak ramai.
Begitu juga dengan aspek kelayakan untuk bekerja di sektor kawalan keselamatan. Kualiti yang perlu diutamakan berbanding kuantiti.
Jangan nanti apabila sektor ini bebas disertai oleh warga asing pelbagai negara, maka syarikat keselamatan mengambil jalan mudah menggajikan warga asing yang sudah berada di negara ini tetapi memiliki permit kerja sektor berbeza atau menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI) seperti yang berlaku baru-baru ini.
Perkara ini terdedah apabila pengawal keselamatan warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah ditahan kerana menyebarkan berita palsu di Hulu Klang, Selangor. Kementerian boleh membuat peraturan tetapi berat untuk menguatkuasakannya kerana bilangan pekerja asing di negara ini yang terlalu ramai.
Dalam pada itu, kerajaan diberitakan telah menetapkan syarat supaya pengawal keselamatan yang hendak dibawa masuk nanti pernah bekerja dalam sektor keselamatan di negara asal masing-masing.
Jika begitu, lebih baik diutamakan pengambilan pengawal keselamatan dalam kalangan bekas tentera kita yang menamatkan perkhidmatan pada usia 40-an. Semasa Covid-19 mula melanda dahulu, ada ura-ura untuk melatih bekas tentera bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja.
Sehebat mana pun pengawal keselamatan asing, rakyat Malaysia terutama bekas tentera lebih faham undang-undang negara ini, peraturan dan adat setempat serta mampu bercakap sekurang-kurangnya dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sekali gus memudahkan urusan komunikasi. – UTUSAN
BEKAS PENGAWAL, Kuala Lumpur









