Tolak filem luar negara promosi agenda LGBTQIA - Utusan Malaysia

Tolak filem luar negara promosi agenda LGBTQIA

LANGKAH mengharamkan tayangan filem Lightyear di Malaysia adalah satu pernyataan rasmi dan tegas dalam menolak ideologi LGBTQIA. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 2017 kita dikejutkan dengan kenyataan pengarah filem animasi keluaran Walt Disney Pictures, Beauty and the Beast yang mengesahkan adanya adegan gay dalam filem tersebut.

Beberapa pihak termasuk Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) membantah penayangan filem tersebut di Malaysia. Bagaimanapun, filem berkenaan telah diluluskan tayangannya di Malaysia tanpa sebarang tapisan.

Terbaharu, filem animasi, Lightyear keluaran Pixar dan Disney didapati mempunyai unsur homoseksualiti melalui watak angkasawan wanita, Hawthorne yang mempunyai hubungan dengan wanita lain.

Hubungan mereka digambarkan melalui ciuman sesama jantina. Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kuwait telah pun mengharamkan tayangan filem ini.

Di Amerika Syarikat (AS) sendiri, ramai ibu bapa dan masyarakat yang masih berpegang kepada nilai tradisi kekeluargaan memprotes langkah mengimplementasikan agenda lesbian, gay, biseksual, transgender, pelik, interseks dan sekutu (LGBTQIA).

Taman tema Disney juga telah tidak menggunakan ganti nama jantina binary (perduaan) seperti “tuan-tuan dan puan-puan, kanak-kanak lelaki dan perempuan” dalam polisi gender-inklusif mereka.

Malaysia tidak menerima LGBTQIA sebagai suatu gaya hidup kerana kita berpegang kepada Islam sebagai agama Persekutuan, Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah mengatakan bahawa Malaysia tidak menerima nilai LGBT dan perkahwinan sejenis.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri pula pernah menegaskan, Malaysia tidak akan menerima dasar luar AS yang mengiktiraf LGBTQ sebaik sahaja Joe Biden yang mengangkat sumpah sebagai Presiden negara itu menggantikan Donald Trump.

PAKSA

Dalam jawapan bertulis kepada Parlimen, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan bahawa kerajaan serius dengan isu melibatkan golongan LGBT di negara ini kerana Malaysia adalah negara yang menurut prinsip agama Islam.

Bahkan agama-agama lain juga menolak budaya LGBTQ seperti ditegaskan melalui resolusi Seminar Perspektif Antara Agama dalam Memperkasakan Nilai-Nilai Kekeluargaan: Orientasi Seks dan Identiti Jantina dari Sudut Pendirian Agama Islam, Kristian, Buddha dan Hindu dengan Input Perundangan dan Fakta Kesihatan/Perubatan anjuran Perikatan Masyarakat Sivil dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) dengan kerjasama Yayasan Dakwah Malaysia (Yadim) dan UID-Sejahtera, baru-baru ini.

Implikasi ideologi LGBTQIA terutamanya transgender ke atas kanak-kanak dan remaja adalah terlalu besar apabila mereka terdedah kepada pengambilan hormon penghalang baligh. Implikasi homoseksualiti terhadap kesihatan fizikal dan mental juga adalah memudaratkan terutama dalam konteks penyakit HIV/AIDS.

Oleh kerana itu, WAFIQ berpendapat, sebarang langkah mengharamkan tayangan filem Lightyear di Malaysia adalah satu pernyataan rasmi dan tegas terhadap ideologi LGBTQIA yang disebar melalui kartun dan filem animasi.

Walaupun di era ini terdapat kaedah lain untuk sesiapa sahaja cuba mengakses filem-filem yang telah diharamkan, pengharaman tayangan di panggung wayang adalah satu pernyataan polisi yang tegas dalam ruang lingkup awam.

Ini memberi isyarat kepada pihak-pihak seperti pengeluar filem, pengusaha pawagam dan masyarakat tentang nilai-nilai kekeluargaan kita yang tidak boleh dikompromi dengan ideologi LGBTQIA dipaksakan ke atas anak-anak melalui kartun dan filem animasi. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. RAFIDAH HANIM MOKHTAR, Presiden WAFIQ

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN