SAUDARA PENGARANG,
MERUJUK kepada tulisan saudari Yuslaini Azmi yang disiarkan dalam ruangan ini bertajuk Hairan Pejuang terlalu obses dengan Anwar pada 16 Jun lalu.
Seluruh negara dan mungkin juga dunia masih ingat dengan perangai Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang obses hendak menjadi Perdana Menteri (PM).
Malah Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad; Presiden parti, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan rakan-rakan telah menandatangani surat sokongan untuk Anwar dilantik sebagai PM, masih juga beliau gagal untuk membuktikan sokongan ‘kuat dan meyakinkan.’
Penulis tersebut menyatakan Dr. Mahathir membuat kenyataan berubah-ubah sedangkan seluruh negara dan dunia tahu, pendirian serta prinsip beliau sentiasa konsisten.
Ini boleh dilihat kenyataan Dr. Mahathir yang sentiasa menjurus kepada menyedarkan orang Melayu demi kemajuan bangsa dan menentang rasuah demi menyelamatkan negara.
Seterusnya penulis menyatakan, dakwaan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kerana dipimpin Dr. Mahathir adalah dusta.
Faktanya, kehadiran Dr. Mahathir memimpin PH telah memberi keyakinan amat tinggi kepada seluruh rakyat tidak kira Cina, India dan lebih-lebih lagi sokongan pengundi Melayu.
Pengerusi Pejuang ialah seorang pemimpin bertaraf dunia. Berikutan integriti, konsistensi dan kebijaksanaan beliau, terlalu jauh untuk dibandingkan dengan pemimpin-pemimpin Malaysia lain.
Akhir sekali penulis menyatakan, elak menyalahkan Anwar jika Pejuang mahu kekal relevan sedangkan yang sudah tidak relevan ialah Anwar dan mungkin PKR jika dirujuk keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini. – UTUSAN
AZMAN MOHD. HASHIM, Ahli Majlis Eksekutif Pejuang