SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, tular di media sosial berkenaan seorang penuntut universiti beragama Islam di Korea Selatan yang ditemuramah oleh BBC World Service berhubung perkongsian tentang hobinya yang suka menari tarian K-Pop di samping kekal berfesyen dengan menggayakan tudung. Baginya, hal tersebut adalah kebebasan pada zaman moden dan tidak menyakiti sesiapa pun.
Menurut Pensyarah Kanan di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Nik Suhaida Nik Abdul Majid, perkara ini perlu dipandang dari sudut Islam tentang bagaimana agama itu meraikan platform media sosial yang mempunyai pengaruh besar dalam sistem sosial dan menjadi medium utama anak muda untuk bersosial selain soal aurat yang bukan hanya sekadar memakai tudung tetapi bertujuan menutup aib. Dalam erti kata lebih tepat lagi adalah menutup ruang fitnah ke atas seorang Muslim terutama wanita.
Banyak sifat malu yang telah hilang berdasarkan kandungan seperti tarian yang dikongsi dalam platform media sosial. Ini kerana perbuatan tersebut bercanggah dengan peraturan hiburan umat Islam. Kita secara jelasnya mempunyai konsep halal dan haram.
Para ulama telah menghuraikan perbahasan yang panjang tentang hiburan termasuk muzik. Hiburan dalam Islam mestilah tidak terkeluar dari beberapa aspek seperti lirik, rentak, penyanyi, pemakaian dan maksud lirik serta melodi itu sendiri. Adakah ia patuh syariah atau tidak?
Justeru, umat Islam sama ada lelaki mahupun wanita perlulah memahami tentang ayat menjaga pandangan dan memelihara maruah. Kesemua hiburan yang tidak sopan adalah terkeluar daripada prinsip hiburan dalam Islam kerana perkara itu menjadi khilaf antara haram dan makruh bergantung kepada cara kita berhadapan dengan hiburan tersebut.-UTUSAN
MUHAMMAD AQIL MAHDI SAILAN
Pelajar Komunikasi Media Baharu
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)











