SAUDARA PENGARANG,
SEJAK 1 Mei lalu rakyat tidak lagi perlu mengimbas kod QR MySejahtera apabila memasuki premis atau tempat awam yang dahulunya bertujuan untuk pengesanan kontak rapat selepas kerajaan menarik semula arahan tersebut selaras dengan Fasa Peralihan ke Endemik.
Sebelum ini kecoh mengenai saranan kepada kerajaan untuk mengnyahaktif aplikasi berkenaan selepas tidak lagi digunakan bagi tujuan mengesan kontak rapat Covid-19. Jika kira-kira 38 juta penduduk negara ini mengnyahaktifkan aplikasi berkenaan, ia secara tidak langsung akan merugikan kerajaan selepas sejumlah besar peruntukkan dikeluarkan untuk pembangunan aplikasi berkenaan.
Jadi, saya melihat aplikasi tersebut boleh diperluaskan penggunaanya terutama dalam proses pendaftaran pengundi baharu dalam pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti. Ini bermakna kerajaan telah permudahkan cara untuk pengundi baharu atau sedia ada mengemas kini maklumat dan menerima sebarang maklumat atau hebahan penting melalui aplikasi itu.
Ini akan memudahkan orang ramai mengetahui status pendaftaran sebagai pemilih dan lokasi tempat tempat mengundi semasa pilihan raya. Orang ramai juga boleh menyemak calon-calon bertanding di bahagian pilihan raya masing-masing serta keputusan PRU15 melalui aplikasi MySejahtera. Dalam kata lain, tidak perlu lagi pengundi memuat naik aplikasi baharu untuk tujuan yang sama.
Pun begitu, kerajaan perlu memastikan agar data pengguna dikawal dan dijaga rapi untuk kegunaan PRU15 bagi mengelakkan sebarang kebocoran atau kecurian data.-UTUSAN
FATIN SYAFIERAH
Pelajar Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)