SAUDARA PENGARANG,
MUTAKHIR ini, produk kosmetik dilihat mesti dimiliki dalam kehidupan wanita dan tidak terkecuali lelaki untuk penjagaan diri dan tampil kelihatan bergaya.
Lazimnya, kosmetik dikenali sebagai alat solek atau produk yang digunakan secara luaran untuk mencantikkan seseorang individu seperti gincu, bedak muka dan maskara.
Malahan, kosmetik sebenarnya turut merangkumi produk penjagaan diri lain seperti syampu, sabun badan dan produk menjaga gigi dan bau mulut.
Namun, terdapat segelintir masyarakat beranggapan produk kecantikan yang diambil secara dimakan atau diminum juga adalah produk kosmetik kerana tuntutan kosmetik digunakan ke atas produk tersebut seperti mencantikkan atau melembapkan kulit.
Tanggapan tersebut adalah salah kerana produk kosmetik hanya boleh digunakan pada bahagian luaran sahaja. Justeru, sesuatu produk yang diminum atau dimakan tidak boleh dikategorikan sebagai produk kosmetik sebaliknya perlu diklasifikasikan sebagai suplemen kesihatan.
Walaupun kosmetik digunakan pada bahagian luaran sahaja, ia perlu dipastikan halal. Islam sangat memberi perhatian berkaitan aspek kebersihan, kesucian dan keindahan.
Malah, agama itu menggalakkan umatnya supaya sentiasa menjaga dan memelihara diri.Pensijilan halal ini bermakna produk kosmetik tersebut tidak mengandungi bahan-bahan yang tidak halal mengikut hukum syarak iaitu bebas daripada alkohol dan pengawet dari sumber yang haram.
Islam telah menggariskan standard dan peraturan yang lengkap dalam konsep halal dan haram. Ini bermaksud, halal bermakna dibenarkan, dibolehkan atau tidak melanggar syarak, seterusnya disandingkan perkataan halal dan tayyib (baik) secara bersama.
Tayyib merujuk kepada memenuhi kualiti, keselamatan, kebaikan dan kesempurnaan sesuatu produk yang selari dengan Amalan Pengilangan Baik (GMP) sebagai proses yang diwajibkan dalam standard untuk industri kosmetik.
Ia menunjukkan tahap kebersihan dan penjagaan kesihatan dalam penyediaan produk kosmetik adalah terbaik. – UTUSAN
DR. AZRI BHARI, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor