Pasang CCTV di pusat sembelihan Australia - Utusan Malaysia

Pasang CCTV di pusat sembelihan Australia

PEMASANGAN kamera litar tertutup (CCTV) di rumah penyembelihan di luar negara penting untuk memantau aktiviti penyembilihan agar tidak melanggar syarat yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KITA sekali lagi dikejutkan dengan berita pelanggaran protokol penyembelihan halal di tiga rumah penyembelihan di Australia. Hal ini sangat membimbangkan umat Islam di Malaysia yang mendapat sumber daging import dengan pengiktirafan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dari negara itu.

Ia masih lagi menjadi isu memandangkan pihak Jakim sendiri dilihat tidak mengambil langkah yang lebih serius untuk menyiasat secara terperinci terhadap segala aduan yang diajukan kepada mereka.

Apabila langkah pengauditan dan pemantauan secara berkala tidak berkesan untuk mengenalpasti pelanggaran protokol penyembelihan halal yang ditetapkan, maka dicadangkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di rumah penyembelihan yang terlibat agar segala aktiviti yang dilakukan dapat dipantau dengan lebih telus dan memastikan isu sama tidak berulang kerana ia dipantau setiap masa.

Dalam masa sama, kerajaan perlu menambah baik syarat sebelum meluluskan sijil halal kepada mana-mana rumah penyembelihan di luar negara agar lebih menepati piawaian yang ditetapkan selain dapat meyakinkan umat Islam berkaitan sijil halal yang dikeluarkan oleh Jakim.

Jakim sepatutnya memperbaiki kelompangan terhadap protokol mereka selepas beberapa pihak melanggar syarat dan bukannya bertindak mempertahankan kelemahan.

Sekiranya berlaku lagi pelanggaran terhadap protokol di rumah penyembelihan yang terlibat, maka CCTV merupakan bukti kukuh yang akan memainkan peranan penting bagi mengesahkan segala salah laku yang berlaku sepanjang proses penyembelihan.-UTUSAN

DR. MOHD MURSHIDI MOHD NOOR
Universiti Utara Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN