Minta Majlis Perbandaran Kajang pantau taman permainan - Utusan Malaysia

Minta Majlis Perbandaran Kajang pantau taman permainan

KEADAAN buaian di Taman Impian Putra Fasa 6, Bandar Seri Putra, Kajang, Selangor yang rosak. – IHSAN PEMBACA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA mewakili Persatuan Penduduk Taman Impian Putra Fasa 6, Bandar Seri Putra, Kajang, Selangor memohon perhatian Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) agar memantau taman permainan di bawah penyeliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan yang didapati telah rosak sehingga membahayakan kanak-kanak yang bermain.

Sebagai contoh, buaian dan beberapa peralatan lain dalam taman permainan di kawasan perumahan kami telah rosak sejak empat bulan lalu, namun tiada tindakan susulan daripada pihak berkaitan untuk membaikinya.

Bayangkan, apa akan berlaku jika buaian tersebut terjunam dan menimpa anak-anak kecil yang asyik bermain? Adakah jika berlaku kecederaan serius sehingga ditularkan, barulah tindakan segera diambil?

Saya mendapati akibat kerosakan tersebut, terdapat segelintir anak kecil terpaksa memilih bermain di simpang jalan raya yang pasti mengundang risiko kerana terdedah dengan kenderaan yang keluar-masuk taman perumahan.

Mereka bebas bermain basikal bukan lagi di kawasan yang digazetkan sebagai taman permainan.

Aduan ini bukan bermaksud untuk mencari salah mana-mana pihak tetapi sebagai mencetus motivasi agar PBT lebih efektif dalam menyelesaikan permasalahan penduduk.

Saya berharap MPKj dapat mengaudit dan memantau semua taman permainan di bawah penyeliaannya setiap enam bulan atau setahun sekali, malahan PBT yang lain wajar turut berbuat sama.

Janganlah dibiarkan buaian dan gelongsor semakin uzur kerana semakin lama terbiar, ia akan menelan kos yang makin tinggi untuk dibaik pulih.

Diharapkan tindakan segera dapat dilakukan selaras dengan moto pada laman web MPKj, Kajang Bandar Pilihan Untuk Didiami. – UTUSAN

ABU MARYAM, Kajang, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN