Live location elak mengelat ketika bekerja dari rumah - Utusan Malaysia

Live location elak mengelat ketika bekerja dari rumah

PIHAK atasan syarikat boleh memantau gerak-geri pekerja yang bekerja dari rumah melalui aplikasi Waze bagi mengelak penipuan dan ponteng.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MEMETIK satu laporan akhbar tempatan, masalah trafik sesak luar biasa di Lembah Klang adalah disebabkan kurangnya perkongsian kenderaan disebabkan risau penularan Covid-19 dan juga ketidakcekapan pengangkutan awam.

Rata-rata orang ramai terpaksa terperangkap dalam kesesakan terutama ketika waktu puncak antara sejam setengah hingga dua jam sehala selepas pembukaan semua sektor dan sempadan negara.

Bayangkan selama lima hari dalam seminggu, orang ramai terpaksa membuang masa, menjaga emosi dan tertekan antara tiga hingga empat jam sehari di atas jalan raya.

Kementerian Pengangkutan sebelum ini mengesahkan sebanyak 31.2 juta kenderaan bermotor didaftarkan termasuk kenderaan komersial dan motosikal pada 2019.

Jadi, saya melihat cadangan untuk mengembalikan semula waktu anjal dengan pilihan untuk bekerja dari rumah adalah amat terbaik ketika ini bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Pihak syarikat boleh menggalakkan kehadiran tiga kali seminggu ke pejabat secara bergilir-gilir.

Bagi saya, ia tidak menjadi masalah selepas pekerja sama ada di sektor awam atau swasta sudah dua tahun melalui pengalaman tersebut, malah majikan juga sudah mempunyai pengalaman dalam mengatasi masalah atau kesulitan ketika bekerja dari rumah.

Jika alasan pekerja mengelat atau prestasi pekerja menurun, majikan boleh mengetatkan syarat agar tiada pihak mengambil kesempatan atas kemudahan yang diberikan.

Pengalaman saya bekerja dari rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), syarat sangat ketat kerana terikat dengan peraturan sehingga pekerja takut untuk curi tulang.

Kami diminta menghantar live location melalui aplikasi Waze sepanjang tempoh bekerja iaitu dari pukul 9 pagi hingga 5 petang bagi membolehkan pihak atasan mengawasi gerak-geri pekerja.

Ini kerana telefon bimbit adalah peranti yang akan di bawa ke mana-mana mahupun sekadar membeli pisang goreng berdekatan kawasan perumahan.

Jadi, agak mustahil untuk pekerja meninggalkan telefon bimbit untuk memonteng atau meninggalkan rumah tanpa kebenaran majikan.

Malah, majikan sendiri akan melihat kerja-kerja kami dan pastikan ia siap pada masa ditetapkan. Disebabkan peraturan seperti ini, tiada seorang pun dalam kalangan pekerja berani untuk curi tulang. – UTUSAN

JUWEETA RASHID, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya