Kita mesti berani mansuh SPM, STPM - Utusan Malaysia

Kita mesti berani mansuh SPM, STPM

gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KERAJAAN boleh membuat pertimbangan untuk memansuhkan semua jenis peperiksaan yang masih wujud seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Langkah ini sama seperti pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang digantikan dengan pentaksiran berasaskan sekolah.

Kita tidak boleh lagi melaksanakan proses penilaian berasaskan peperiksaan semata-mata kerana kaedah sedemikian memberi tekanan mental dan emosi kepada pelajar.

Dengan pemansuhan sepenuhnya sistem berorientasikan peperiksaan, ia dapat mengurangkan tekanan dalam kalangan ibu bapa dan penjaga kerana mereka tidak perlu lagi pening kepala untuk memastikan anak-anak mendapat markah yang tinggi atau A.

Ibu bapa dan penjaga juga tidak perlu lagi bersusah payah melakukan perbandingan kejayaan anak-anak mereka dengan kanak-kanak lain.

Pemansuhan semua jenis peperiksaan adalah selaras dengan perubahan zaman. Terdapat banyak aspek kemahiran baharu yang perlu dikuasai pelajar kita selain dari aspek teori dan hafalan semata-mata.

Ini seperti kemahiran untuk berfikir aras tinggi, berkomunikasi dengan berani dan penuh keyakinan serta penggunaan pelbagai jenis aplikasi berasaskan teknologi terbaharu.

Sesuai dengan perkembangan zaman, proses penilaian juga harus berubah supaya kita benar-benar dapat menilai tahap prestasi pelajar kita meliputi segala aspek termasuk kemahiran dalam kehidupan.

Pemansuhan sistem berasaskan peperiksaan juga penting supaya kita tidak melahirkan pelajar yang ketagih untuk mendapatkan A dalam semua subjek yang dipelajari pada sepanjang masa.

Langkah itu dapat mengelak perbandingan dilakukan antara seorang pelajar dengan pelajar yang lain melalui keputusan peperiksaan atau jumlah A yang mereka peroleh.

Dengan tiadanya peperiksaan ini, para pelajar yang tidak menunjukkan prestasi baik dari sudut akademik tidak akan tertekan dan merasakan diri mereka tidak berjaya dalam kehidupan.

Dalam pada itu, sudah sampai masanya rakyat Malaysia mengubah minda mereka bahawa kejayaan mendapat A dalam peperiksaan tidak bermakna seseorang itu akan berjaya dalam kehidupan. Mereka yang gagal mendapat sebarang A pun boleh berjaya dalam hidup.

Terdapat banyak individu yang berjaya di dalam dunia ini termasuk di Malaysia sedangkan mereka tidak mendapat sebarang A dalam peperiksaan ketika zaman persekolahan dahulu.

Ini sebagai peringatan kepada kita untuk tidak menilai prestasi seseorang itu hanya berdasarkan keputusan peperiksaan sahaja.

Oleh yang demikian, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mengambil langkah berani dan drastik bagi memansuhkan sepenuhnya semua jenis peperiksaan yang ada dalam sistem pendidikan negara pada ketika ini.

KPM boleh menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji cadangan ini dengan lebih terperinci lagi. Jawatankuasa khas ini perlu dianggotai pakar pendidikan, guru dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.

Kita juga boleh mengadakan proses pungutan suara dalam kalangan pelajar sekolah sendiri terhadap cadangan yang dikemukakan ini.

Apa-apa keputusan yang hendak diambil kelak hendaklah mengambil kira suara pelajar kita kerana mereka yang akan menerima kesan daripada sebarang tindakan yang hendak dilaksanakan. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.