SAUDARA PENGARANG,
SAYA ingin memberi pandangan tentang masalah kenaikan harga makanan di negara ini yang berpunca kebanyakannya disebabkan barangan termasuk bahan mentah untuk menghasilkan barang siap adalah diimport.
Kita masih membeli daripada pihak luar walaupun ia boleh dihasilkan sendiri seperti menternak lembu dan kambing, tanaman makanan ternakan seperti jagung dan sayur-sayuran secara besar-besaran.
Peliknya, kenapa kita sejak sekian lama tidak memberi tumpuan membela haiwan ternakan dan menghasilkan produk pertanian sendiri seperti negara-negara ASEAN lain yang dari segi cuaca tidak banyak berbeza berbanding Malaysia?
Thailand misalnya adalah antara pengeksport terbesar beras dan 40 peratus daripada keseluruhan rakyatnya terlibat dengan bidang pertanian berbanding hanya 16 peratus rakyat Malaysia terlibat dalam sektor itu.
Di Indonesia juga ramai terlibat dalam pertanian iaitu sebanyak 41 peratus, Kemboja (80 peratus), Myanmar (65 peratus), Vietnam (60 peratus) dan Filipina (23 peratus).
Berhubung isu kenaikan harga jagung untuk makanan ternakan, Thailand bertindak agresif untuk menanam sendiri bahan tersebut. Misalnya, daripada lapan juta tan jagung bijian diperlukan setiap tahun, lebih separuh atau lima juta tan adalah bahan mentah yang ditanam di dalam negara.
KARTEL
Kita mempunyai agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Felcra Berhad dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) yang boleh memainkan peranan membantu dalam industri penternakan dan pertanian.
Kita boleh mulakan dengan saiz ladang yang berskala kecil dahulu dan kemudian dikembangkan secara besar-besaran.
Selain itu, tindakan kerajaan membiarkan kegiatan ternakan dan pertanian bergerak sendiri di bawah pasaran terbuka dan bebas telah mewujudkan kegiatan monopoli atau kartel yang mengawal dan menentukan harga sesuka hati dan lebih teruk lagi boleh menghentikan operasi ladang ayam.
Kenapa kerajaan tidak menghapuskan sejak awal lagi penguasaan ekonomi negara oleh kartel ini sehingga mereka sangat berkuasa dalam mengatur permintaan dan penawaran khususnya harga ayam?
Tindakan drastik kerajaan memansuhkan beberapa permit import (AP) bagi menstabilkan harga makanan dan Nafas diberikan peranan untuk mengetuai jihad memerangi orang tengah diharap membuka jalan agar petani tidak lagi ditindas dan mereka mampu mendapat keuntungan.
Akhir sekali, hentikan budaya membeli dan tukarlah kepada budaya buat atau hasilkan sendiri terutama bahan atau sumber yang boleh didapati di negara sendiri seperti jagung bijian serta lembu untuk daging dan susu.
Kedua-duanya memang telah dihasilkan di dalam negara, cuma perbesarkan supaya ia bukan sahaja untuk kegunaan sendiri tetapi juga dieksport. – UTUSAN
ABDUL HAMID, Temerloh, Pahang