SAUDARA PENGARANG,
JABATAN Kerja Raya (JKR) memandang serius terhadap aduan dibangkitkan oleh Cucu Tok Janggut dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia pada 13 Jun lalu bertajuk JKR pandang aduan sebelah mata?
Pengadu menyebut kerosakan jalan raya yang menjadi laluan utama pengguna kenderaan pergi dan balik di Kampung Teluk, Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang didapati terbiar begitu sahaja tanpa ada sebarang tindakan meskipun aduan telah dibuat beberapa kali kepada JKR)daerah supaya dibaiki dengan kadar segera sejak hampir tiga bulan.
Pengadu menyatakan kerisauan apabila keadaan jalan itu amat berbahaya lebih-lebih lagi ia menjadi laluan utama penduduk sekitar selain dikhuatiri boleh membawa kecelakaan pada waktu malam.
Berdasarkan rondaan dibuat oleh kami, terdapat mendapan pada jalan negeri (P198) di Kampung Teluk. Berikutan kejadian tersebut, kerja-kerja pembaikan pemendapan dilaksanakan pada 13 Januari lalu.
Oleh kerana terdapat masalah pemendapan berulang di lokasi sama, JKR Seberang Perai Utara (SPU) telah menjalankan pembaikan struktur jalan pada 18 Mac lalu.
Pembaikan kekal secara kaedah mill and pave ke atas struktur jalan sedang dilaksanakan secara berperingkat lanjutan isu mendapan yang masih lagi berlaku walaupun kerja-kerja pembaikan awal telah dibuat.
Kerja-kerja pembaikan ini bermula pada 29 April lalu dan dijangka siap pada 16 September ini.-UTUSAN
JABATAN KERJA RAYA MALAYSIA