SAUDARA PENGARANG,
WAWANCARA Mingguan Malaysia dengan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay baru-baru ini, membuka mata kita akan betapa besar dan rencam ancaman dadah.
Masalah ini nampaknya belum menunjukkan tanda-tanda akan berkurangan jika kita melihat trend rampasan yang terus naik. Pada 2020, nilai rampasan dicatatkan adalah RM458 juta.
Pada tahun lalu, ia naik sehingga mencecah RM965 juta. Begitu juga jumlah rampasan dari 13 tan pada 2020 naik kepada 27 tan, tahun lalu.
Berdasarkan Akta Dadah Berbahaya 1952, hanya 66 jenis bahan psikoaktif baharu (NPS) yang disenaraikan dan diwartakan, sekali gus boleh diambil tindakan oleh pihak berkuasa.
Namun, kini ada lebih 800 NPS yang belum diwartakan dan jika sesiapa ditangkap, belum ada undang-undang yang boleh mensabitkan mereka. Ini yang membimbangkan kita semua.
Memang banyak tangkapan dibuat sekarang terutama melibatkan dadah konvensional dan sintetik. Intipan dan serbuan ke atas kondominium mewah dan rumah menemukan betapa liciknya sindiket dan individu tertentu memproses dadah dengan peralatan canggih yang turut melibatkan warga asing.
Itu belum lihat betapa sempadan antarabangsa kita mudah dibolosi, baik melalui darat atau laut. Agensi antarabangsa ada menyebut, Malaysia adalah antara tumpuan penyeludupan dan pengedaran dadah dari pelbagai negara.
Bagaimanapun, kita tidak menafikan kerja keras pihak berkuasa dan agensi tertentu dalam menangani masalah dadah. Yang pasti, sinergi semua pihak amat diperlukan. Tidak perlu menuding jari kepada pihak tertentu dan pada masa sama membiarkan pihak lain lepas tangan.
Kebimbangan kita semua memang sangat berasas. Kita dapat lihat dan dengar, gejala penagihan dadah meresap di bandar, kampung dan rancangan Felda. Mudahnya memperoleh bekalan dadah sudah menjadi rahsia umum.
INDUSTRI
Beberapa langkah boleh dilaksanakan. Pertama, agensi yang terlibat membanteras dadah perlu mendapatkan maklumat daripada agensi serupa di negara asing untuk berkongsi maklumat dan cara pengesanan terbaik.
Kedua, kementerian berkaitan undang-undang perlu mengenal pasti dadah-dadah jenis baharu dan mewartakan ke dalam Akta Dadah Berbahaya 1952 supaya tindakan undang-undang dapat dikenakan ke atas pesalah.
Ketiga, agensi penguat kuasa sempadan di darat, laut dan udara perlu lebih peka dan berwaspada bagi menghalang kemasukan dadah ke negara kita. Alat pengesan yang lebih canggih amat diperlukan.
Keempat, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) perlu bergerak lebih aktif dengan kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan dan pemimpin masyarakat dalam menangani isu dadah. Jika bergerak sendirian, memang kurang keberkesanannya.
Kelima, institusi pendidikan sejak dari tadika perlu ada mekanisme pembelajaran pendidikan antidadah. Masukkan dalam sukatan pelajaran, elemen-elemen maklumat antidadah. Mendidik biar semasa dari rebungnya.
Keenam, kerjasama erat dengan negara-negara jiran kita khususnya Thailand dan Indonesia amat diperlukan. Kita berkongsi sempadan dengan mereka. Maklumat dan kepakaran boleh dikongsikan bersama dari semasa ke semasa.
Sebenarnya, banyak lagi langkah yang boleh difikirkan dan dibincangkan dengan lebih mendalam oleh pelbagai agensi berkaitan. Kemudian, rumusan daripadanya boleh dipanjangkan kepada pihak berkuasa.
Yang pasti, usah berlengah lagi. Masa tidak menanti kita. Teknologi semakin berkembang maju, begitu juga ‘industri’ dadah yang semakin canggih dan inovatif. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. – UTUSAN
MUSTAFFA SIRAJ, Batu Pahat, Johor