Guna satu platform mampu elak ‘gangguan’ komunikasi

Guna satu platform mampu elak ‘gangguan’ komunikasi

PELBAGAI medium aplikasi boleh mengganggu komunikasi dan sesi pembelajaran secara dalam talian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DI sektor pendidikan, peringkat universiti terutamanya mengambil inisiatif menggunakan pelbagai medium dalam sesi pembelajaran seperti Zoom, Google Meet, Webex, Microsoft Teams, Skype, YouTube dan pelbagai lagi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sepanjang tempoh dua tahun lepas, pendidik sangat teruja melaksanakan kelas dalam talian sehinggakan ada institusi yang mempromosikan kaedah ini dengan menganjurkan pertandingan supaya pendidik berlumba-lumba untuk menggunakan pelbagai kaedah sebaik mungkin dalam menyahut cabaran yang diberikan.

Hal ini tidaklah menjadi bebanan di peringkat awal tetapi mungkin akan mengganggu prestasi dalam proses komunikasi dan pembelajaran dari semasa ke semasa.Ini kerana secara amnya, setiap pendidik semestinya mempunyai sekurang-kurangnya satu medium komunikasi, pengantaraan serta pelaksanaan yang mereka selesa gunakan. Maka ini sebenarnya memberi kesan kepada pelajar secara umum dan keseluruhannya di era globalisasi yang penuh dengan aplikasi dan informasi.

Sebagai contoh, sekiranya seorang pelajar universiti mempunyai enam subjek setiap semester dengan enam pensyarah berbeza dan setiap pensyarah tersebut mempunyai medium pengajaran berbeza, maka pelajar perlu ada banyak aplikasi dalam telefon pintar mahupun komputer peribadi untuk sesi pembelajaran dalam talian.

Perkara ini secara tidak langsung mengganggu fokus komunikasi dan proses pembelajaran. Ini kerana selain daripada medium komunikasi sedia ada seperti WhatsApp, Telegram, Discord, ditambah dengan medium media sosial yang penggunaannya dalam proses pembelajaran seperti Instagram dan TikTok, pelajar juga perlu mempunyai pelbagai aplikasi lain untuk proses pembelajaran formal secara dalam talian. Dalam masa 24 jam, seseorang pelajar mungkin menghabiskan masa yang sangat panjang untuk belajar, melaksanakan tugasan serta berhibur. Ini sememangnya boleh mengganggu fokus pelajar kerana kepadatan medium dan maklumat.

Saya percaya setelah dua tahun pelaksanaan PKP, para pendidik dan institusi pendidikan secara amnya telah mengenal pasti medium komunikasi dan pembelajaran yang bersesuaian, terbaik dan unggul untuk dilaksanakan bagi sesi pembelajaran dalam talian.

Kementerian Pendidikan juga harus melihat perkara ini dan memainkan peranan dalam membentuk sistem dan prasarana yang sebaiknya untuk penyampaian ilmu secara dalam talian.

Dengan kerjasama kementerian bersama pihak ketiga yang menawarkan medium terbaik, ia dapat membantu proses penyampaian dengan memfokuskan kepada satu platform penyampaian yang standard kepada semua institusi pendidikan.

Dalam membentuk Keluarga Malaysia yang harmoni dan sihat dari segi mental dan fizikal, saya percaya mempunyai satu medium komunikasi dan pembelajaran dapat membantu pendidik lebih fokus kepada pembangunan kandungan pembelajaran, pemantauan pelajar serta prestasi penilaian yang lebih baik.-UTUSAN

M. HAMZANI
Fakulti Komunikasi & Pengajian Media
Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN