Etika memandu bukan ikut jumlah tayar kenderaan

Etika memandu bukan ikut jumlah tayar kenderaan

KITA hendaklah menghormati dan memastikan keselamatan antara satu sama lain tidak kira saiz kenderaan. – GAMBAR HIASAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MERUJUK komen oleh Pengarang Berita Mingguan Malaysia, Fauziah Arof dalam kolum Ahad Dah Ke? bertajuk Makan angin, signal ‘simpan’ dan lambat bangun tidur pada 12 Jun lalu.

Kami terpanggil untuk menyuarakan persetujuan dengan tulisan itu mengenai sebab Malaysia kekal antara 10 negara paling bahaya memandu di dunia. Pada masa sama, pemandu di negara ini juga paling tertekan.

Tekanan hidup khususnya yang berpunca daripada sikap ego, pentingkan diri dan kealpaan diri sendiri secara langsung mempengaruhi cara dan etika pemanduan individu tertentu di negara kita.

Label negatif bahawa Malaysia masih antara 10 negara paling bahaya memandu di dunia amat menyakitkan kita semua kerana ia memberi persepsi buruk kepada masyarakat luar yang ingin mengenali negara ini.

Justeru, sesuatu perlu dibuat bagi mengubah sikap rakyat agar menjadi pengguna jalan raya yang lebih bertanggungjawab, beradab, bertolak ansur, berhati-hati dan lebih gembira apabila berada di jalan raya.

Persoalan ini mungkin agak berat pada kerana soal sikap pengguna jalan raya adalah isu berterusan dan boleh dikira meruncing dalam kalangan masyarakat kita.

Bak kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya, jelas membuktikan peri penting kesedaran dalam apa jua hal adalah berpunca daripada pupukan seawal di alam kanak kanak.

Mengambil contoh negara maju seperti Jepun misalnya, adab dan sikap bertimbang rasa dan saling menghormati pengguna lain sudah diterapkan sejak kecil.

Sudah menjadi norma di sana apabila anak kecil melintas jalan, lalu memberi tunduk tanda hormat kepada pemandu yang memberi laluan kepadanya. Sesuatu perkara yang jarang kelihatan di negara kita.

MAHARAJA

Sikap, akhlak dan struktur pembudayaan seperti ini perlu diteliti oleh para cendekiawan dan penggerak masyarakat untuk diterapkan kepada generasi akan datang.

Ini bagi mengelak berlaku insiden seperti yang tular baru-baru ini melibatkan pelanggaran kecil antara kereta dipandu warga emas dengan motosikal ditunggang seorang belia.

Belia tersebut memilih untuk bertindak melulu, memaki hamun serta meluahkan ketidakpuasan hatinya dengan memukul insan berumur tanpa simpati.

Oleh itu, usaha menerapkan nilai positif, adab dan akhlak kepada generasi muda perlu diperhebatkan dan dijalankan secara berterusan.

Malu apabila masyarakat luar membandingkan sikap sopan santun rakyat kita yang berubah ketika berada di jalan raya.

Malah, ada juga tanggapan mengatakan pemandu Malaysia adalah maharaja di jalanan dan jalan raya bagai litar lumba bagi menunjuk kehebatan. Persepsi ini perlu dihentikan dan diubah agar tidak terus mencalar imej negara kita.

Seharusnya kita adalah masyarakat yang tinggi budi pekerti. Dengan semangat Keluarga Malaysia, nilai ini perlu dihayati bukan sekadar di rumah, ketika meraikan masyarakat majmuk atau sekadar waktu berhari raya.

Malah, nilai dan etika keperibadian mulia ini perlu dibawa ke dalam jiwa kita apabila berada di jalan raya.

Kita hendaklah menghormati dan memastikan keselamatan antara satu sama lain tidak kira saiz kenderaan, berapa jumlah tayar, kereta mahal, import atau tempatan.

Tunjukkan kepada generasi muda yang memerhati, kita sebagai golongan dewasa adalah contoh akhlak terbaik ketika berada di jalan raya. – UTUSAN

DR. ABDUL KHABIR RAHMAT & DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN