Cacar monyet: Mahu PKD pantau kesihatan murid - Utusan Malaysia

Cacar monyet: Mahu PKD pantau kesihatan murid

KERJASAMA antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan amat penting dalam memastikan murid bebas daripada sebarang jangkitan virus. – UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KERJASAMA antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan amat diperlukan dalam tempoh penularan penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) bagi mengelak ia merebak dan menambah bilangan kes.

Terbaharu, sudah pastinya ibu bapa risau sekiranya ada penularan virus cacar monyet ekoran pembukaan semula sempadan negara selepas negara beralih ke fasa endemik Covid-19.

Justeru, sebagai rakyat, kita mahu Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah lebih terbuka memberi penjelasan dan tidak menyorok fakta serta jumlah kes.

Selain itu, kita juga mahukan kerajaan mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pengembara dari negara yang terjejas.

Secara jujurnya, kami tidak mahu kembali ke fasa sama seperti penularan Covid-19 apabila kerajaan mengenakan pelbagai sekatan untuk mengelak penularan virus berkenaan.

Kementerian Kesihatan harus menganggap penyakit cacar monyet ini sebagai bom jangka dengan perlu bertindak awal supaya virus itu tidak merebak dalam negara.

Antara langkah yang boleh diambil adalah Kementerian Kesihatan melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) boleh ke sekolah, prasekolah, taska dan pusat jagaan bagi memantau situasi jangkitan.

Hal ini perlu bagi memastikan murid atau kanak-kanak di pusat jagaan bebas daripada sebarang penyakit.

Kerajaan buat masa ini meletakkan tanggungjawab kepada ibu bapa dan guru tetapi adalah lebih baik jika ada pemantauan daripada golongan yang pakar dalam aspek kesihatan.

PKD juga semasa lawatan dan pemantauan tersebut boleh meneliti aspek kebersihan sesebuah sekolah, prasekolah, taska atau pusat jagaan. Mana-mana pihak yang didapati mengabaikan aspek kesihatan boleh dikenakan denda.-UTUSAN

FITRI AHMAD
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN