Bukan payah sedia pemadam api - Utusan Malaysia

Bukan payah sedia pemadam api

ALAT pemadam api dalam kenderaan amat berguna untuk memadam kebakaran pada peringkat awal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MUSIM perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini menyaksikan pertambahan pergerakan kenderaan mendadak di jalan raya termasuk yang sudah lama tidak bergerak bagi perjalanan jarak jauh.

Kenderaan sebegini berisiko tinggi mengalami kebakaran kecil disebabkan keadaan enjin terlalu panas sekiranya terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

Ini terutama kenderaan yang telah lama terabai penyelenggaraan enjin ketika tempoh sekatan perjalanan dilaksanakan suatu ketika dahulu.

Kebakaran pada kenderaan berpunca daripada litar pintas akibat modifikasi keterlaluan dan juga kepanasan ruangan enjin disebabkan kebocoran hos, pengumpulan bendasing seperti kertas dan daun kering.

Selain itu, jumlah trafik yang tinggi juga meningkatkan risiko kemalangan jalan raya yang turut berpotensi mengakibatkan berlaku kebakaran.

Kejadian kebakaran kereta dan lori bukan asing. Berdasarkan rekod Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, pada 2020 berlaku 3,622 kes kebakaran kenderaan bermotor di negara kita.

Alat pemadam api adalah salah satu peralatan keselamatan yang disyorkan untuk disimpan di dalam kenderaan.

Alat ini dapat membantu mengawal dan memadamkan api jika berlaku kebakaran di peringkat awal.

Sememangnya alat itu diwajibkan di dalam kenderaan perdagangan mahupun pengangkutan awam, tapi kini sewajarnya pemilik persendirian juga melengkapkan kenderaan mereka dengan peralatan ini.

Ia mudah digunakan, ringan dan mampu membendung keadaan yang boleh melarat sekiranya tidak digunakan pada peringkat awal kejadian, lantas berupaya mengurangkan risiko kerugian harta benda serta kehilangan nyawa.

Tinjauan rambang penulis ke atas pemilik kenderaan mendapati tahap kesedaran pemasangan alat pemadam api kenderaan masih rendah dalam kalangan mereka.

NANO

Kebanyakan pemilik kenderaan mengakui peralatan itu sangat bermanfaat, Namun, rata-rata berpendapat keberangkalian berlaku kebakaran kenderaan adalah amat kecil sehingga menyebabkan mereka menangguh untuk memasangnya.

Sebenarnya terdapat pelbagai jenis alat pemadam kerana sesetengah kebakaran tidak boleh dipadamkan dengan air semata-mata.

Ada yang mengandungi buih, karbon dioksida dan serbuk kering. Perbezaan ini berkait rapat dengan pengkelasan jenis kebakaran yang sesuai dipadamkan oleh peralatan tersebut.

Untuk simpanan dalam kenderaan, pakar keselamatan menyarankan peralatan jenis ABC dalam bentuk serbuk kering kerana kesesuaian mengawal dan memadamkan kebakaran yang boleh datang daripada pelbagai punca.

Pakar keselamatan turut mencadangkan alat berkapasiti satu hingga dua kilogram kerana saiz botol itu mudah digunakan khususnya pemandu wanita.

Kadar masa pelepasan (discharge time) yang disyorkan adalah antara enam hingga 12 saat. Kadar pelepasan ini merujuk kepada jumlah masa liputan semburan dari saat pin keselamatan ditarik sehingga semburan gas habis.

Lagi lama masa pelepasan adalah lebih baik tetapi untuk kenderaan persendirian, memadai dengan kadar ini.

Terkini, sudah ada peralatan berasaskan teknologi nano yang mampu memberikan hasil kawalan dan pemadaman api dengan lebih berkesan, pantas dan tidak mempunyai unsur toksik.

Peralatan sedemikian menggunakan unsur air dan tidak mempunyai tarikh luput, lantas mampu mengurangkan keperluan penyelenggaraan alatan.

Alat pemadam api harus dipasangkan pada pengikat di bawah tempat duduk penumpang hadapan bagi memudahkan ia dicapai pemandu ketika berlaku kecemasan. – UTUSAN

DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR dan MOHD. FAIZOL RIZAL MOHD. RASID, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN