SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini saya berkesempatan bersama keluarga berkelah di Taman Tasik Darulaman, Jitra, Kedah.
Bagi pengunjung yang ingin mengelilingi tasik sejauh 2.5 kilometer, mereka boleh menyewa beberapa jenis kenderaan yang disediakan oleh pihak pengurusan.
Antaranya, kereta golf atau bugi menggunakan kuasa bateri yang boleh dinaiki tiga penumpang. Ketika kunjungan itu, saya dan keluarga menyewa sebuah bugi.
Walaupun berada dalam kategori warga emas, saya tetap mencuba memandu bugi berkenaan. Mula-mula terasa kekok juga untuk memandu kenderaan yang sterengnya di sebelah kiri, macam kereta di luar negara.
Di sinilah ingin saya membuat sedikit teguran. Stereng kenderaan yang saya pandu terlalu ketat. Hendak membelok ke kiri pun ketat, ke kanan pun ketat.
Keadaan sedemikian amat berbahaya terutama kepada pemandu warga emas atau golongan wanita. Kalau tidak cepat pusing balas stereng, bugi boleh terjun ke dalam tasik.
Bugi yang saya pandu juga angin tayar belakangnya kurang. Ini menyebabkan pergerakan tayar bugi agak berat.
Selepas menaiki bugi, kami menyewa pula dua basikal sambil mengelilingi tasik. Menurut menantu saya, ketika mengayuh basikal tersebut, mereka melihat bugi yang dinaiki oleh dua wanita berusia dalam lingkungan 40-an hampir menjunam ke dalam tasik.
Bila ditanya, mereka memberitahu stereng agak berat. Bila pusing ke kanan, sukar untuk memusing kembali tayar ke kiri bagi meneruskan perjalanan, menyebabkan bugi hampir terjun tasik. Nasib baik sempat brek walaupun dalam keadaan panik.
Apa yang saya bangkitkan di sini untuk perhatian pihak pengurusan tasik itu. Segalanya perlu diberi perhatian serius untuk keselamatan dan tidak menyusahkan pengunjung. – UTUSAN
RAMLI ISMAIL, Kangar, Perlis