SAUDARA PENGARANG,
KITA telah mempelajari prosedur operasi standard (SOP) untuk hidup bersama Covid-19, namun adakah kita sudah membuat yang terbaik untuk menjalani kehidupan sihat bagi mencegah penyakit tidak berjangkit (NCD)?
NCD kekal menjadi punca utama kematian di Malaysia dan hipertensi (tekanan darah tinggi) menyumbang kepada kebanyakan ketidakupayaan dan kematian.
Hipertensi adalah pembunuh senyap yang boleh menyebabkan penyakit serius seperti penyakit jantung dan strok tanpa menunjukkan gejala. Tinjauan Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan (NHMS) 2019 melaporkan bahawa hampir separuh daripada mereka yang mengalami penyakit darah tinggi tidak didiagnosi doktor.
Kita melakukan saringan Covid-19 apabila kurang sihat, tetapi berapa kerapkah memeriksa tekanan darah bagi menyaring NCD?
Kajian meta-analisis menunjukkan bahawa pengurangan tekanan darah dengan ketara mengurangkan risiko kejadian serangan jantung, kegagalan jantung, strok dan seterusnya pengurangan dalam semua punca kematian dalam populasi.
Profesor Dr. Moy Foong Ming dan Profesor Dr. Sanjay Rampal dari Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya berkongsi sepuluh petua untuk menjalani gaya hidup yang lebih sihat:
1. Buat persediaan mental dan rancang gaya hidup sihat yang realistik.
2. Lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala dan dapatkan rawatan awal jika perlu.
3. Ukur tekanan darah dengan tepat dan kawalnya di bawah 140/90 mmHg.
4. Ambil kurang daripada 5 gram garam sehari dan pilih diet untuk menghentikan hipertensi (DASH) yang kaya dengan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh dan makanan tenusu rendah lemak.
5. Amalkan aktiviti fizikal sekurang- kurangnya 150 minit seminggu.
6. Kekalkan Indeks Jisim Badan (BMI) dalam lingkungan 18.5kg/m 2 hingga 24.9 kg/m 2
7. Berhenti merokok dan hadkan pengambilan alkohol.
8. Uruskan tekanan dengan kemahiran mengatasi masalah dan terapi relaksasi.
9. Dapatkan tidur yang cukup (7 hingga 9 jam) dan berkualiti.
10. Kekalkan gaya hidup sihat dan tabah mengatasi cabaran.
Perubahan dalam gaya hidup sihat sememangnya tidak mudah. Sokongan persekitaran dalam komuniti adalah penting untuk mendorong usaha kita menuju impak yang lebih tinggi.
Kementerian Kesihatan telah menubuhkan pusat kesihatan dalam membantu mereka yang bersedia ke arah gaya hidup sihat dengan nasihat profesional serta kumpulan sokongan masyarakat.-UTUSAN
DR. YOONG LEE YEEN
Pelajar Pascasiswazah
Sarjana Kesihatan Awam (DrPH) ,
Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan
Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya.