SAUDARA PENGARANG,
ISU kenaikan harga selain kekurangan barangan keperluan utama di pasaran tidak akan berakhir selagi pihak tidak bertanggungjawab dibiarkan berleluasa tanpa tindakan tegas.
Ini kerana pihak berkenaan akan sentiasa mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan berlebihan dengan menjadikan apa jua kelemahan yang terdapat pada sistem atau peraturan sedia ada sebagai jalan untuk mereka mengawal harga.
Sehubungan itu, kerajaan perlu segera mencari jalan penyelesaian baharu dengan merombak sistem atau peraturan sedia ada.
Sebenarnya, rakyat sudah bosan dengan soal kenaikan harga dan kekurangan barangan. Mereka akan menganggap kerajaan gagal menyelesaikannya sekiranya isu ini berlarutan.
Rakyat sudah tidak mahu mendengar lagi permasalahan ini kerana kerajaan berjanji barangan keperluan utama adalah mencukupi dan harga siling pun telah ditetapkan terhadap barangan seperti ayam, minyak masak dan sebagainya.
Dalam hal ini, kita lihat ada sahaja orang tengah yang sering mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda.
Oleh itu, sesuatu perlu dilakukan. Walaupun ada langkah kerajaan untuk memansuhkan permit import (AP) tetapi rakyat menganggap semua itu belum mencukupi untuk menangani masalah ini.
Selain penguatkuasaan tegas dan berani, langkah lain yang boleh difikirkan adalah menghasilkan sendiri barangan di peringkat tempatan seperti makanan untuk haiwan ternakan.
Kita ada universiti yang pakar dalam kajian menghasilkan makanan ternakan dan sebagainya. Kita ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan pengguna yang sedia membantu kerajaan.
Jika semua ini digembleng, yakinlah kerajaan yang selama ini menghadapi kekangan tertentu seperti kekurangan kakitangan dan sebagainya akan dapat menyelesaikan isu harga barangan keperluan serta yang berkaitan dengannya. – UTUSAN
DATUK DR. ZULKIFLI ABDUL AZIZ, Setiausaha Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak