Belum terlambat labur duit raya anak

Belum terlambat labur duit raya anak

DUIT raya elok disimpan dalam bank atau dilaburkan bagi mendapat pulangan. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri tahun ini pastinya meninggalkan seribu satu kenangan buat seluruh umat Islam di Malaysia.

Setelah dua tahun tidak dapat menyambutnya akibat sekatan pergerakan bagi membendung penularan jangkitan penyakit Covid-19, tahun ini kemeriahannya begitu unik dan meriah sekali.

Kanak-kanak adalah golongan yang paling gembira kerana dapat menyambut hari raya bersama datuk dan nenek di kampung, berjumpa sepupu-sepupu dan saudara-mara.

Pastinya ketika Aidilfitri yang baru berlalu itu anak-anak mendapat lebih banyak duit raya berbanding tahun-tahun lepas. Walaupun Syawal telah berlalu, masih belum terlambat untuk ibu bapa memainkan peranan besar bagi menguruskan duit raya yang diperoleh oleh anak-anak kita.

Berikut Beberapa panduan untuk ibu bapa mengurus duit raya anak-anak agar ia menjadi suatu yang berguna di kemudian hari.

Pertama, ibu bapa perlu menetapkan matlamat duit raya tersebut sama ada untuk simpanan biasa, simpanan pendidikan, simpanan Tabung Haji atau pelaburan masa hadapan.

Bagi ibu bapa yang memilih simpanan biasa, duit tersebut boleh didepositkan ke akaun simpanan anak-anak di bank-bank tempatan. Duit tersebut boleh dikeluarkan jika diperlukan untuk kegunaan anak-anak atau keluarga di masa hadapan.

Jika memilih simpanan pendidikan, ibu bapa boleh membuka akaun skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) atau juga SSPN-i yang mengabungkan tabung pendidikan dan takaful untuk anak-anak bagi persediaan kewangan memasuki pendidikan tinggi.

Skim simpanan pendidikan ini amat besar manfaatnya dan boleh membantu ibu bapa mengurangkan bebanan perbelanjaan anak-anak ketika melangkah ke menara gading.

Selain itu, ibu bapa selaku pendeposit turut menerima manfaat kesihatan dan pengecualian cukai simpanan bersih sehingga RM6,000 setahun.

HAJI

Pilihan ketiga adalah dengan membuka dan mendepositkan duit raya anak-anak ke Tabung Haji. Ini adalah satu permulaan dan amalan penyimpanan baik yang ditunjukkan oleh ibu bapa kepada anak-anak agar mereka turut menyimpan hasrat untuk ke Tanah Suci pada suatu hari nanti apabila simpanan mereka telah cukup.

Simpanan Tabung Haji juga merupakan suatu pelaburan masa depan dengan dividen keuntungan tahunan sekitar tiga hingga empat peratus.

Bagi ibu bapa yang menginginkan pulangan pelaburan jangka masa panjang, terdapat beberapa pilihan unit amanah yang boleh didaftarkan seperti akaun remaja Amanah Saham Bumiputera (ASB), ASB 3-Didik, Amanah Saham Malaysia (ASM) dan ASM 2-Wawasan yang diuruskan oleh Permodalan Nasional Berhad.

Pelaburan dalam sebarang bentuk amanah saham perlulah dikaji secara teliti dan bergantung kepada prospek yang ditawarkan.

Bagi pelaburan anak-anak, ibu bapa digalakkan mencari amanah saham yang mudah dicairkan, memberi pulangan yang lebih baik daripada simpanan biasa dan berisiko rendah.

Selain itu, simpanan dalam bentuk akaun atau syiling emas dengan syarikat yang sah juga merupakan pilihan simpanan yang semakin digemari ramai.

Ia memberikan pulangan jangka panjang berdasarkan harga jualan yang makin tinggi pada masa akan datang serta mengurangkan risiko pengeluaran wang yang kerap.

Dengan melaburkan duit raya anak-anak setiap tahun, ibu bapa boleh menikmati pulangan yang konsisten dan berterusan dalam tempoh masa panjang sesuai dengan perkembangan usia anak-anak mereka.

Pelaburan ini biarpun hanya bermula dengan nilai yang kecil, tetapi dengan penambahan yang berterusan, ia amat membantu anak-anak apabila mereka dewasa kelak tanpa perlu dibelenggu masalah kewangan yang serius. – UTUSAN

DR. MOHD. TALMIZIE AMRON dan SUHAILY MAIZAN ABDUL MANAF, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Terengganu

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN