SAUDARA PENGARANG,
BUDAYA menghisap vape semakin popular dalam kalangan remaja dan perokok sejak 2004 dengan kenyataan palsu mengatakan ia adalah alternatif kepada budaya merokok konvensional malah diuar-uarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab sebagai alat untuk berhenti merokok.
Baru-baru ini, kita digusarkan pula dengan berita vape tidak dikenakan cukai. Di mana sikap prihatin dan empati golongan ‘senior’ terhadap generasi muda dan anak-anak yang sepatutnya dilindungi daripada bahaya asap rokok dan vape?
Rokok mengandungi nikotin dan hampir kesemua vape di pasaran didapati mengandungi nikotin, bahan utama yang menyebabkan ketagihan.
Vape boleh menyebabkan masalah pernafasan kronik dan penyakit asma tidak terkawal, manakala nikotin boleh menyebabkan degupan jantung yang laju, tekanan darah tinggi dan juga serangan jantung.
Oleh kerana ini, ramai remaja yang menghisap vape dan merokok tidak dapat bersukan dengan efektif.
Banyak kajian saintifik telah membuktikan vape mengandungi lebih dari 230 bahan kimia yang berbahaya untuk kesihatan. Antara bahan yang terdapat di dalam cecair vape adalah propylene glikol, yang berasal daripada minyak masak.
Bahan-bahan kimia ini apabila disedut akan mendap di sel paru-paru dan akhirnya akan menyukarkannya untuk mengembang secara normal.
Lama-kelamaan ia boleh menyebabkan kerosakan kepada paru-paru, keadaan yang dipanggil kerosakan paru-paru akibat vape (Evali) selain mempunyai potensi menyebabkan kanser.
Perokok yang merokok di dalam rumah atau kereta sebenarnya bukan sahaja memberi kesan bahaya kepada orang terdekat iaitu sebagai perokok sekunder, bahkan amalan ini boleh memberi kesan buruk kepada psikologi dan kesihatan fizikal orang muda terutamanya anak-anak kecil yang melihat tabiat tersebut di hadapan mata mereka.
Perlu diketahui bahawa, kesan asap rokok masih ada di dalam kereta atau di dalam kawasan tertutup kerana bahan kimia dari asap rokok yang dihembus akan menghasilkan reaksi kimia yang akan masuk melalui saluran pernafasan dan meresap melalui kulit anak-anak.
Disinilah kesan asap sisa rokok yang tidak nampak di mata kasar tetapi menyebabkan masalah kesihatan yang teruk dan juga masalah pembelajaran yang terbantut dalam jangka pendek dan panjang.
Vape bukanlah pengganti rokok dan bukan juga alat untuk rawatan berhenti merokok kerana banyak kajian membuktikan penghisap akan menjadi pengguna berganda (vape dan rokok pada masa sama) selepas beberapa tempoh dan meningkatkan risiko buruk kesihatan. – UTUSAN
DR. NUR AMANI NATASHA AHMAD TAJUDDIN & DR. MOHD. AFIQ MOHD. NOR, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya