SAUDARA PENGARANG,
BENAR atau tidak kenyataan yang mengatakan rakyat Malaysia tidak berminat untuk bekerja di sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) walaupun mendapat tawaran gaji sangat menarik?
Bayangkan diri anda adalah seorang penganggur dan dalam situasi tidak bekerja, sanggupkah menjadi kakitangan pembersihan, buruh di ladang sawit atau pekerja di tapak pembinaan? Saya berani jamin bahawa majoriti akan berkata tidak.
Mengapa perkara ini terjadi? Hal ini bertitik tolak daripada rantaian kehidupan seseorang sejak lahir lagi. Sejak kecil kita sebenarnya tidak mahu kerja susah seperti ayah dan ibu. Kita rasa kasihan melihat mereka. Ada yang bekerja di sawah bendang, menangkap ikan dan sebagainya.
Tetapi pernahkah kita bertanya kepada ibu bapa, mengapa mereka bekerja dalam sektor demikian? Adakah mereka mempunyai pilihan lain? Saya rasa jika mereka diberi pilihan, pasti mereka ingin bekerja di sektor kerajaan.
Keluarga Malaysia pada 1957 dahulu bukan seperti hari ini. Dahulu kebanyakan pasangan mempunyai anak yang ramai. Anak sulung biasanya bersekolah sehingga darjah enam tetapi itu tidak bermakna mereka kurang bijak, sebaliknya ingin memberi peluang kepada adik-adik untuk belajar. Inilah yang digelar pengorbanan. Mereka kesian melihat ayah dan ibu bekerja dalam sektor 3D untuk membesarkan anak-anak.
Ibu bapa ketika zaman itu sanggup bekerja di sektor 3D bagi memastikan masa depan anak-anak terjamin. Mereka tidak mahu anak dan cucu susah di kemudian hari selain menganggap kerja itu sebagai satu ibadah.
Perkara sama tidak terjadi kepada Keluarga Malaysia hari ini yang lebih gemar bekerja di dalam bangunan lengkap dengan penyaman udara.
Justeru, saya beranggapan Keluarga Malaysia perlu bersedia juga berada dalam sektor 3D. Jika tidak, sampai bila mahu mengharapkan titik peluh warga Bangladesh, Indonesia atau Pakistan tumpah di bumi Malaysia?-UTUSAN
IBNU ARASY DZIKRULLAH
Kepala Batas, Pulau Pinang