Skuad India diam-diam ubi berisi

Skuad India diam-diam ubi berisi

PASANGAN beregu lelaki negara, Goh Tze Fei (kanan) dan Nur Izzuddin Rumsani bukanlah tandingan skuad badminton India. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG.

TAHNIAH buat pasukan badminton India yang menjuarai kejohanan terbaharu Piala Thomas di Bangkok baru-baru ini yang boleh disifatkan sebagai diam-diam ubi berisi.

Siapa sangka, pasukan yang tidak diberikan publisiti meluas berjaya menumpaskan gergasi Piala Thomas satu demi satu sehingga merangkul gelaran juara.

Di mana letaknya kekuatan India sehingga pasukan-pasukan gergasi terpinga-pinga dan tewas mengejut bagaikan tidak melawan?

Hakikatnya, pasukan India beberapa tahun kebelakangan ini memang boleh dianggap kental kerana dibarisi pemain-pemain muda berprestasi tinggi khususnya barisan perseorangan lelaki mereka.

Kidambi Srikanth, Prannoy HS dan Lakshya Sen berada pada ranking yang baik ketika ini iaitu 20 teratas pada usia masih muda.

Sesuatu perlu dipelajari tentang bagaimana mereka mempersiapkan pasukan yang seimbang dalam pelbagai aspek sehingga berjaya merangkul kejuaraan buat julung kali.

Dalam pada itu, segelintir peminat badminton tempatan menyalahkan Pengarah Kejurulatihan (Beregu) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky di atas tindakannya menurunkan Goh Tze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang menduduki ranking ke-13 dunia menentang beregu utama India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, ranking kelapan dunia.

Bagaimanapun, mereka akhirnya akur menerima kekalahan itu setelah menyaksikan kehebatan India menyingkirkan Denmark 3-2 pada aksi separuh akhir sebelum membelasah Indonesia di pentas final.

PRESTASI

Perlu diakui jurang antara pemain muda negara dengan 10 pemain terbaik dunia masih terlalu jauh. Justeru, tidak salah sekiranya BAM membuka ruang kepada pemain profesional khususnya perseorangan lelaki seperti Soong Joo Ven dan Cheam June Wei kembali menyertai pasukan kebangsaan berdasarkan kualiti dan prestasi semasa yang ada pada mereka ketika ini.

Ketandusan pemain perseorangan lelaki seperti pada zaman Datuk Lee Chong Wei tidak seharusnya berlanjutan di era Lee Zii Jia. Pengurusan BAM harus segera mencari jalan menangani isu ini agar tidak berlarutan.

Sesetengah pemerhati sukan badminton tanah air berpendapat, barisan kejurulatihan perlu dirombak bagi memberi nafas baharu serta membina perwatakan pemain untuk bergelar juara.

Dengan peredaran zaman yang semakin maju, pemain sewajarnya mempunyai faktor tambahan jika ingin bergerak lebih jauh dan menggapai kejayaan buat negara.

Pemain-pemain dahulu bermain bersungguh-sungguh kerana mahu mengubah nasib keluarga dengan kebanyakan mereka datang daripada keluarga susah. Itu yang menjadi faktor tambahan untuk mereka berjaya.

Berbeza zaman sekarang, boleh dikatakan pemain yang ada ketika ini hampir kesemuanya tidak merasai situasi seperti itu. Jadi, mereka tidak mempunyai faktor tambahan. Ini yang membuatkan mereka cepat selesa dengan pencapaian yang tidak seberapa dan tiada kesungguhan untuk menaikkan nama negara.

Tidak dinafikan juga gangguan gajet turut mempengaruhi tumpuan pemain terhadap sukan ini berbanding pemain-pemain dahulu yang memberikan komitmen 100 peratus kepada latihan yang dijalani. – UTUSAN

MOHD. SALLEH OSMAN, Presint 16, Putrajaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya