SAUDARA PENGARANG,
SETELAH dua tahun mengharungi pandemik Covid-19, masih tiada satu mekanisme yang dapat memberikan perlindungan efektif dan menyeluruh bagi seluruh pekerja di Malaysia.
Antara yang terlibat ialah pekerja sokongan kontrak di premis-premis kerajaan. Mereka ialah pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan yang berkhidmat sepenuh masa di sekolah, hospital, mahkamah dan premis kerajaan lain yang tiada jaminan perlindungan sosial.
Mereka sudah dianggap sebagai pekerja barisan hadapan di bangunan kerajaan. Malangnya, mereka tidak mendapat jaminan perlindungan sosial yang menyeluruh seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Faedah pekerjaan seperti cuti tahunan bergaji, cuti sakit bergaji mahupun gaji bulanan yang tetap juga tidak terjamin.
Dalam pada itu, langkah untuk mewartakan kenaikan kadar gaji minimum baharu kepada RM1,500 disambut baik. Ini adalah peningkatan yang drastik jika dibandingkan dengan kenaikan sebelum ini.
Namun, harus diingatkan bahawa ramai pekerja sokongan kontrak masih bergelut dengan gaji pokok yang tidak dibayar. Pada tahun ini, pengawal keselamatan dan pekerja pembersihan sekolah di Sabak Bernam dan Tanjung Karang, Selangor serta Port Dickson, Negeri Sembilan tidak menerima gaji berbulan lamanya.
Pengawal keselamatan sekolah, ramai antara mereka bekerja tujuh hari seminggu dan 30 hari sebulan tanpa cuti. Banyak salah laku melibatkan pihak majikan termasuk gaji dipotong tanpa sebab munasabah.
Ketiadaan pemantauan yang efektif oleh pihak berkuasa menyebabkan masalah ini terus berleluasa. – UTUSAN
SITI ANIS ZAKIAH MUHAMMAD NOR, Petaling Jaya, Selangor