Koperasi bantu agih kekayaan secara adil - Utusan Malaysia

Koperasi bantu agih kekayaan secara adil

WKB 2030 bermatlamat menyediakan taraf hidup yang sejahtera kepada semua rakyat Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERDANA Menteri India yang pertama, Jawaharlal Nehru pernah menyatakan bahawa demokrasi bukan semata-mata kesamarataan dalam memiliki hak mengundi yang menentukan kekuasaan politik. Ia juga menentukan keseimbangan pengagihan ekonomi dan sosial bagi mewujudkan keadaan yang adil dan makmur.

Sekiranya diamati kata-kata ini, ia seolah-olah selari dengan konsep koperasi yang mana sistem demokrasi adalah teras dalam tadbir urus dan keuntungan dihasilkan diagihkan secara saksama kepada semua ahli.

Dalam erti kata lain, kekayaan dapat dirasai oleh semua peringkat secara adil. Tiada golongan akan berasa dirinya ditindas dan sebahagian golongan berada pula dapat membantu yang lain.

Suasana sebegini akan mewujudkan keharmonian dalam masyarakat bahkan membawa kemakmuran kepada negara. Ini juga selaras dengan hasrat kerajaan yang terkandung dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Ia adalah satu iltizam kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara membangun secara mampan seiring pengagihan ekonomi adil, saksama dan inklusif di semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan.

Ia juga bertujuan memastikan rakyat bersatu padu tanpa prasangka dengan meraikan kepelbagaian kaum dan budaya sebagai asas penyatuan negara bangsa.

WKB 2030 bermatlamat menyediakan taraf hidup yang wajar kepada semua rakyat pada 2030 dengan memenuhi tiga komponen utama iaitu kewangan mencukupi bagi memenuhi keperluan asas, kemampuan untuk menyertai aktiviti komuniti, kekeluargaan dan riadah sosial serta berkeupayaan untuk menjalani kehidupan bermakna dan bermaruah.

Untuk tujuan tersebut, koperasi dilihat sebagai salah satu alternatif bagi membantu kerajaan dalam mewujudkan kesaksamaan ekonomi di negara ini.

MONOPOLI

Ini memandangkan koperasi berpaksikan kepada nilai-nilai dan prinsip-prinsip yang banyak memberi faedah dalam menyelesaikan masalah bersama selain manfaatnya dalam menangani kemiskinan dan ketidaksamaan dalam masyarakat.

Antara usaha yang boleh dibuat oleh gerakan koperasi sebagai alat mendemokrasikan ekonomi negara adalah mengimbangi syarikat atau ­ firma yang bersifat monopoli dan oligopoli dalam pasaran.

Ia harus membina rangkaian kerjasama sesama koperasi dan terlibat di semua peringkat dalam rantaian pembekalan barangan atau perkhidmatan.

Ia bermaksud satu koperasi akan melaksanakan aktiviti di rantaian tersebut bermula dari pengeluar hingga kedai jualan kepada pengguna.

Gerakan koperasi perlu menggembleng anggota untuk menjadi usahawan dalam koperasi tersebut agar struktur ekonomi dalam koperasi lebih bersepadu dan menjamin pengeluaran barang dan perkhidmatan.

Bagi memperkasakan ekonomi, koperasi hendaklah melibatkan diri dalam perniagaan yang memberi pulangan tinggi. Usaha sama dengan pihak swasta juga amat digalakkan bagi memperluaskan peluang perniagaan koperasi.

Akhir sekali, setiap koperasi semestinya memberi penekanan terhadap pemahaman dan pengamalan nilai-nilai asas dan etika koperasi kepada semua anggota.

Ia perlu dijadikan budaya dalam koperasi kerana memberi impak positif kepada individu, organisasi dan masyarakat sekeliling.

Selain itu, kerjasama kerajaan dengan gerakan koperasi amat penting bagi bersama-sama dalam menjayakan agenda untuk manfaat rakyat.

Ini memandangkan kerajaan adalah pemegang kuasa bagi mengawal tadbir urus sesuatu organisasi dalam sesebuah negara.

Organisasi pula seperti koperasi adalah jentera untuk melaksanakan apa yang direncana oleh kerajaan. – UTUSAN

HASRIN ABU HASSAN, Kg. Pondoi, Tampin, Negeri Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN