Jangan teragak-agak hukum ibu bapa lepas tangan - Utusan Malaysia

Jangan teragak-agak hukum ibu bapa lepas tangan

KENAKAN hukuman berat terhadap ibu bapa remaja yang terlibat dengan lumba haram. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

WALAUPUN beban tugas dan tanggungjawab menjadi ibu bapa adalah amat sukar, mereka tidak boleh bersikap lepas tangan dalam menjaga anak-anak sepanjang masa.

Ibu bapa yang membawa anak-anak ke dalam dunia ini. Mereka tidak boleh hanya sekadar melahirkan anak tanpa menjaga dan melindungi kanak-kanak terbabit.

Oleh itu, sama ada suka ataupun tidak, mereka harus memikul segala beban tanggungjawab menjaga anak-anak sendiri.

Semenjak akhir-akhir ini, sering kedengaran isu kanak-kanak tidak dipantau yang berkeliaran tanpa hala tuju dalam negara kita seperti isu kanak-kanak yang terlibat dengan basikal lajak, membawa kenderaan tanpa sebarang lesen dan isu remaja yang terlibat dengan lumba haram.

Timbul juga isu kanak-kanak yang melepak di tempat-tempat awam, bermain dengan mercun berbahaya, terlibat dengan dadah, aktiviti jenayah dan lain-lain.

Ibu bapa memainkan peranan penting bagi memastikan anak-anak mereka tidak melakukan sebarang perkara yang bukan sahaja boleh membawa kesan buruk terhadap diri sendiri malah turut memberi tempias negatif kepada keluarga dan orang sekeliling.

Beban tugas menjaga dan melindungi anak-anak ini bukan sahaja satu tanggungjawab moral, malah ia turut termaktub dalam peruntukan undang-undang antarabangsa dan tempatan.

Perlu diketahui, negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah sepakat secara konsensus untuk mewujudkan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak 1989.

Kerajaan Malaysia telah menandatangani konvensyen antarabangsa berkenaan pada 1994 dan telah guna pakai bermula 7 Februari 1995.

Antara kandungan konvensyen berkenaan adalah meminta kerjasama antarabangsa dalam usaha memberi perlindungan kepada kanak-kanak serta peranan dan tanggungjawab keluarga dan negara dalam menjaga kepentingan golongan itu.

CUAI

Di Malaysia, kita sudah memiliki sebuah akta khusus bagi menjaga serta melindungi golongan itu iaitu Akta Kanak-Kanak 2001 yang mula berkuat kuasa pada 1 Ogos 2002 dengan fokus kepada aspek pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan kanak-kanak dalam negara kita.

Akta terbabit telah memansuhkan tiga peruntukan undang-undang lain yang sudah lapuk iaitu Akta Mahkamah Juvana 1947, Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991 dan Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973.

Akta terbaharu ini telah mendefinisikan kanak-kanak sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun.

Seksyen 31(1) akta terbabit telah memperuntukkan bahawa ibu bapa atau penjaga yang menganiayai, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak itu atau bertindak secara cuai dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya kecederaan fizikal atau emosi atau yang menyebabkan dianiayai, diabaikan, dibuang atau yang menganiayai dari segi seks kanak-kanak itu atau yang menyebabkan atau membenarkannya dianiayai sedemikian telah melakukan suatu kesalahan.

Jika disabitkan, ibu bapa atau penjaga boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Oleh yang demikian, ibu bapa atau penjaga perlu mengambil serius terhadap perkara ini serta mengambil langkah yang sewajarnya untuk menjaga serta melindungi anak-anak mereka.

Tindakan undang-undang perlu diambil terhadap mana-mana ibu pada atau penjaga yang cuai atau gagal melindungi anak-anak mereka.

Sudah sampai masanya peruntukan undang-undang ini didedahkan secara terperinci kepada semua pasangan yang bakal melangsungkan perkahwinan mereka supaya mereka mengetahui hukuman yang bakal diterima jika gagal menjaga anak-anak dengan baik. – UTUSAN

PROF. MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya