SAUDARA PENGARANG,
SETIAP kali tiba perayaan besar seperti Hari Raya Aidilfitri kita sering mengalami masalah kenaikan harga barangan keperluan asas.
Boleh dikatakan ia berlaku pada setiap tahun dan isu ini seolah-olah tiada berkesudahan.
Kadangkala kita sebagai pengguna berasa sedikit hairan kenapa isu kenaikan harga barangan ini kerap terjadi pada satu masa sahaja. Situasi ini umpama seperti sudah dirancang terlebih dahulu.
Dalam pada itu, pelbagai lapisan masyarakat berpendapat tindakan agensi dan jabatan kerajaan dalam mengawal harga barangan adalah tidak bersungguh-sungguh dan hanya untuk memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) semata-mata.
Mereka berpendapat seandainya tindakan yang diambil adalah secara menyeluruh dan komprehensif tanpa mengenal pangkat dan darjat sudah semestinya isu berkaitan kenaikan harga barang dapat diatasi.
Jangan hanya bertindak mengikut aduan yang diterima tetapi bertindaklah mengikut keadaan semasa.
Ada pengguna pula menyatakan bahawa dalam mengawal kenaikan harga barangan keperluan asas, tindakan yang perlu diambil bukan kepada peruncit iaitu peniaga yang menjual bahan mentah tetapi ia perlu dikenakan kepada pembekal dan orang tengah.
Peruncit atau peniaga hanya menjual bahan-bahan tersebut. Ia dilihat tidak adil seandainya tindakan diambil ke atas mereka tetapi tiada tindakan dikenakan terhadap pembekal yang sewenang-wenangnya menaikkan harga barang.
Apabila pembekal-pembekal ini menaikkan harga barang maka peruncit atau penjual tiada pilihan.
Mereka juga perlu menaikkan harga barang bagi mendapat sedikit keuntungan dan untuk menampung kos yang terpaksa mereka tanggung.
Hakikat ini akan membolehkan kita sedar bahawa tindakan dalam menangani isu kenaikan harga barang keperluan asas perlu bersifat adil.
Jangan tindakan hanya diambil kepada ikan bilis sahaja akan tetapi ikan jerung terlepas begitu sahaja. – UTUSAN
DR. MOHD. RAHIM KHAMIS dan MOHD. FAIZAL KAMARUDIN, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Kampus Selangor