SAUDARA PENGARANG,
RAMADAN yang sudah sampai ke penghujung adalah bulan penuh kemuliaan. Di dalamnya ada satu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan iaitu lailatulqadar.
Ketibaan Ramadan dinanti, perginya pula bakal ditangisi. Dalam analogi pendidikan tinggi, Ramadan ibarat sebuah universiti.
Universiti Ramadan ini unik kerana sifatnya yang sarat dengan amalan pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan.
Sepanjang Ramadan, tegahan untuk hanya berehat-rehat atau banyak tidur adalah satu peringatan yang perlu dihayati sebaiknya.
Sebaliknya, Ramadan ini harus dibangunkan dengan amalan-amalan yang mengaktifkan para insan. Ramadan ibarat sebuah universiti yang memiliki peranan mendidik para insan agar dekat kepada Allah SWT.
Ramadan adalah bulan diturunkan al-Quran. Al-Quran sebagai kitab panduan adalah simbol penting pendidikan kerana pembelajaran memerlukan sumber rujukan autentik bagi menjana pengetahuan yang terarah dan terpandu dengan nilai-nilai ketuhanan.
Universiti selama-lamanya memiliki imej sebagai ejen pendidikan yang mencerdikkan anak watan dan berpandukan ‘kitab-kitab’ atau bahan rujukan.
Ramadan sebagai sebuah universiti, membentuk para insan yang terang akalnya, menyuluh kehidupan menjadi manusia terbilang.
Ramadan juga memiliki citra penyelidikan. Ramadan menjadi masa terbaik untuk membuat pembacaan berkualiti yang menjadi asas penting untuk melakukan penyelidikan berimpak tinggi.
Fokus lebih besar dapat diberikan untuk proses berfikir yang lebih mendalam, lantaran tiada keperluan untuk memenuhi keperluan makan minum pada waktu bekerja.
Penumpuan lebih baik dapat dijana, justeru penyelidikan menjadi lebih berhasil dan lebih banyak karya penulisan dapat dihasilkan, insya-Allah. – UTUSAN
PROFESOR DATUK DR. AHMAD FAUZI ISMAIL & DR. MUHAMMAD ABD. HADI BUNYAMIN, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)