SAUDARA PENGARANG,
KERAJAAN telah dilobi oleh pengusaha industri tembakau yang menyatakan rokok elektronik (vape), produk tembakau dipanaskan (HTP) dan sistem penghantaran nikotin elektronik (ENDS) adalah lebih selamat daripada rokok.
Hasil daripada tindakan lobi pihak industri yang boleh memberikan pulangan hasil cukai kira-kira RM300 juta setahun itu, kerajaan telah membenarkan penjualan e-cecair berasaskan nikotin pada 2021.
Keputusan kerajaan itu diibaratkan seperti pintu air terbuka yang tidak boleh ditutup mudah.
Ternyata pengumuman terbaharu oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bahawa kerajaan akan memperkenalkan Akta Kawalan Tembakau dan Merokok (TSCA) bagi melahirkan generasi yang tidak lagi kenal rokok dan produk berkaitannya pada tahun ini tidak mungkin kesampaian.
Akta baharu itu bertujuan melarang perbuatan merokok dan memiliki produk tembakau termasuk vape bagi mereka yang dilahirkan selepas 2005 sebagai generasi penamat merokok di negara ini
Bagi saya, langkah itu hanyalah sekadar janji di bibir. Ini kerana alat penyedutan rekreasi (RID) termasuk keseluruhan spektrum vape, HTP dan ENDS terus dipasarkan dengan bijak.
RID didakwa membantu dalam berhenti merokok tetapi sebaliknya menawarkan alternatif ketagihan dan dipromosikan sebagai kurang berbau.
ENDS pula menggunakan e-cecair, menawarkan beribu-ribu perisa yang berpotensi menarik minat belia dan mereka berkemungkinan ketagih seumur hidup.
Sejauh mana akta ini boleh dikuatkuasakan sekiranya RID tersedia secara meluas? Terdapat banyak kedai runcit termasuk kedai serbaneka menjual peranti sedemikian di seluruh negara.
Selalunya peranti sebegini dijual kepada pelajar melalui rakan-rakan dengan diskaun besar kerana keuntungan akan datang daripada penjualan berulang isian semula e-cecair.
KETAWA
RID boleh menjadi seperti paket gula-gula getah yang nipis dan rata, mudah disembunyikan oleh pelajar yang membawanya ke sekolah.
Beberapa guru disiplin memberitahu Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), mereka merampas semakin banyak gajet vape dan e-cecair dalam beg pelajar.
RID juga menarik minat gadis-gadis yang mengambilnya kerana sering dipromosikan kurang bau asap rokok.
Golongan wanita muda berbuat demikian bagi mampamerkan jiwa merdeka dan meluahkan sikap memberontak.
Saya sendiri ada melihat dua remaja perempuan sedang menghisap vape di hadapan restoran.
Saya memberitahu mereka perbuatan sedemikian tidak baik untuk kesihatan. Mereka ketawa secara sinis dan kemudian berjalan pergi.
Orang yang menggunakan peranti sedemikian tidak menyedari bahaya termasuk kehadiran logam berat yang terdapat dalam e-cecair dan kesan toksik bahan kimia pada badan mereka.
Dengan rokok konvensional semakin kurang digunakan, RID hanyalah untuk menggantikannya sebagai kesinambungan tabiat ketagihan nikotin.
Terdapat kira-kira 1.5 juta orang menggunakan vape di negara ini. Kerajaan harus mengenakan pelbagai sekatan termasuk mengharamkan RID sama seperti dilakukan terhadap rokok. – UTUSAN
N.V. SUBBAROW, Aktivis antimerokok