Segera laksana PRU15 bukan keutamaan

Segera laksana PRU15 bukan keutamaan

JUMLAH pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan merekodkan 50 kes.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DESAKAN demi desakan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2021 supaya disegerakan pembubaran Parlimen sebenarnya tidak mewakili suara serta kehendak rakyat yang berbilang kaum di negara ini.

Umum faham semangat tinggi serta berkobar-kobar ahli dan sebahagian pemimpin UMNO supaya disegerakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hanyalah bersandarkan kepada teori kemenangan besar (tetapi tidak selesa) di dua pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor semata-mata.

Namun, jika mekanisme serta momentum kemenangan berkenaan dijadikan sebagai modal kemenangan besar secara solo oleh pihak Barisan Nasional (BN) dan UMNO di peringkat Pusat pada PRU15 kelak, maka senario berkenaan dikhuatiri jika tersilap percaturan boleh membawa rebah serta merugikan orang Melayu.

Persoalannya adakah dengan cara menyegerakan PRU15 mampu memberikan faedah kepada rakyat? Justeru, usah mencari penyakit ketika badan masih sihat.

Bagaimanapun, cadangan disegerakan PRU15 perlu dihormati walaupun pelaksanaannya harus mendapat persetujuan secara konsensus daripada komponen parti kerajaan Keluarga Malaysia sebelum membolehkan Perdana Menteri menyembah permohonan nasihat beliau kepada Yang diPertuan Agong.

Maka dalam hal sedemikian, Perdana Menteri tidak boleh bertindak secara ‘melangkah bendul’ dalam soal memartabatkan keputusan UMNO yang diwakilinya kerana ia melibatkan urusan pentadbiran kerajaan.

Bagi orang ramai, apa yang ditagih sebagai keutamaan sekarang adalah tanggungjawab kerajaan bagi meningkatkan tahap ekonomi, kebajikan, kehidupan serta kesihatan rakyat yang terkoyak teruk akibat Covid-19.

Maka, lebih afdal tempoh matang pembubaran Parlimen mengikut seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN

RAHMAD ISAHAK, Aktivis politik

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya