fbpx

Renang bagus untuk kanak-kanak

BERENANG bukan sahaja baik untuk kesihatan tetapi dapat mengurangkan risiko lemas ketika banjir.

SAUDARA PENGARANG,

BERENANG merupakan antara aktiviti yang dilakukan untuk merehatkan minda dan membantu mengurangkan tekanan. Berenang ini tidak memerlukan kos yang tinggi dan merupakan aktiviti kedua popular selepas berjalan kaki selain dapat menyelamatkan nyawa ketika banjir.

Rasulullah SAW bersabda: “Ajarilah anak-anak kalian berkuda, berenang dan memanah.” (Riwayat Sahih Bukhari & Muslim).

Kajian membuktikan kombinasi elemen-elemen semasa berkuda, memanah dan berenang dapat meningkatkan kesihatan, kekuatan, kepantasan, daya tahan dan keseimbangan tubuh badan di samping menajamkan pancaindera bagi melahirkan pergerakan yang tangkas serta memupuk sifat sabar, tenang dan meningkatkan keupayaan dalam memberi tumpuan di dalam situasi tidak terduga.

Semasa berenang, otot-otot dan tulang rangka akan membuat satu gerakan berkoordinasi antara anggota kaki dan tangan yang merangsang sistem kardiovaskular. Ayunan tangan terkawal ini meningkatkan pengambilan oksigen maksimum menggunakan organ diafragma.

Pengambilan nafas panjang berulang kali semasa ayunan ini membuatkan kadar jantung menjadi selari dengan pernafasan menyebabkan pengeluaran endorfin, hormon penenang semula jadi oleh otak. Pengeluaran ini tidak akan berlaku dengan nafas yang singkat.

Ia juga baik bagi wanita yang sedang mengandung kerana tidak memberi tekanan yang tinggi kepada badan. Kesan urutan daripada tekanan air mampu menggalakkan peredaran darah dengan lebih baik di seluruh badan.

Menurut satu laporan organisasi perubatan, selepas setahun berenang secara berkala, kepekaan terhadap insulin meningkat di samping penurunan tekanan darah.-UTUSAN

PROFESOR MADYA IR. DR. NAZRUL ANUAR NAYAN, Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN