Perlu komited lindungi alam semula jadi Manjung

Perlu komited lindungi alam semula jadi Manjung

KEADAAN Air Terjun Tanjung Batu yang musnah akibat aktiviti kuari batu di dalam kawasan Hutan Simpan Segari Melintang, Manjung, Perak. – UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KERAJAAN negeri Perak perlu mengekal dan melindungi guna tanah hutan dan kawasan semula jadi darat (termasuk hutan paya laut) yang masih terdapat di daerah Manjung bagi mengimbangi pembangunan fizikal dengan pemuliharaan alam semula jadi.

Berdasarkan Peta Guna Tanah Semasa Tahun 1966 yang disediakan oleh Jabatan Pertanian, dianggarkan lebih 60 peratus keluasan guna tanah di daerah Manjung dilitupi oleh hutan dan kawasan semula jadi tetapi telah berkurangan kepada kira-kira 12 peratus berdasarkan Guna Tanah Rancangan Tempatan Daerah Manjung 2030 (RTD Manjung 2030).

Pengurangan yang ketara keluasan guna tanah hutan dan kawasan semula jadi darat boleh mempengaruhi ekosistem persekitaran dan memberi impak kepada alam sekitar, sosio dan ekonomi mikro.

Berdasarkan jurnal dan laporan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan), terdapat populasi dan habitat gajah sehingga pertengahan 1990-an. Namun, kemudiannya dipindahkan ke Taman Negeri Royal Belum kerana habitat dan kawasan rayau dibangunkan untuk tujuan pertanian berskala besar.

Bagi memastikan guna tanah hutan dan kawasan semula jadi darat yang masih terdapat di sana dikekal dan dilindungi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Sahabat Alam Malaysia (SAM) pernah mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya:-

i. Mewartakan kawasan pendaratan penyu di Pantai Pasir Panjang, Segari sebagai kawasan perlindungan (PA).

ii. Mewartakan kawasan berhampiran pendaratan penyu yang berstatus tanah kerajaan di Pantai Pasir Panjang, Segari sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) iaitu cadangan sebahagian Hutan Simpan Tanjung Hantu.

iii. Mewartakan hutan paya bakau (hutan paya laut) berstatus tanah kerajaan yang masih terdapat di daerah Manjung sebagai HSK.

iv. Meminda Zon Guna Tanah Blok Perancangan Kecil 4.9, RTD Manjung 2030 (Zon Kuari/Industri Berasaskan Kuari kepada Zon Hutan), dan

v. Tidak meluluskan permohonan cadangan kuari seluas 122 hektar di sebahagian Kompartmen 19, 20 dan 21, Hutan Simpan Segari Melintang.

Cadangan tersebut adalah selari dengan salah satu hala tuju RTD Manjung 2030 iaitu memulihara sumber jaya secara bersepadu dan mampan.-UTUSAN

MEOR RAZAK MEOR ABDUL RAHMAN, Aktivis alam sekitar

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya