Mohon bantuan jurutera hebat - Utusan Malaysia

Mohon bantuan jurutera hebat

PENGUNJUNG melihat dari dekat model Exora edisi berwarna hitam di ruang pameran kereta di Shah Alam, Selangor pada 2021. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin membangkitkan isu berkaitan masalah yang sering membelenggu pembeli kenderaan Proton Holdings Berhad (Proton) terutama Exora iaitu masalah berkaitan hos penyejuk minyak (OCH) yang mudah pecah dan rosak.

Sebenarnya ini adalah isu lama yang sehingga kini masih belum selesai. Pada 2016, Proton pernah menjalankan kempen memanggil balik 94,577 unit kenderaan mengenai masalah OCH, membabitkan tiga model iaitu Exore Bold, Preve dan Suprima S.

Saya ialah pembeli Exora model 2021 edisi berwarna hitam. Memandangkan saiz bilangan ahli keluarga yang meningkat, saya dan isteri sepakat untuk membeli Exora kerana harga kenderaan pelbagai guna (MPV) ini yang mampu milik dan mudah mencari alat ganti kerana keluaran tempatan.

Silap saya juga tidak membuat ‘kerja rumah’ semasak-masaknya sebelum membeli kenderaan itu. Rupa-rupanya, masalah OCH ini kerap dibualkan oleh pengguna Exora di dalam media sosial.

Ramai pengguna Exora yang mengeluh dan kesal membeli kenderaan model itu tetapi menjadi satu kerugian besar pula jika MPV itu dijual balik kerana harga yang telah jatuh.

Kenderaan yang diharapkan dapat memberi keselesaan kepada golongan berpendapatan sederhana rupa-rupanya telah menjadi igauan ngeri dan membuat kami berfikir berkali-kali untuk membawa kenderaan itu bagi perjalanan jauh.

Bayangkan kerosakan OCH ini akan menyebabkan minyak hitam kenderaan bocor dan MPV tidak dapat bergerak. Adalah menjadi kesusahan kepada kami yang mempunyai anak-anak kecil bila kenderaan tersadai di jalan yang sunyi dan tempat terpencil.

Bayangkan berapa banyak wang terpaksa dibayar setiap kali menggunakan trak tunda untuk membawa kenderaan ke bengkel dan kos baik pulih yang perlu ditanggung oleh pemilik. Bayangkan juga, anak-anak yang kepanasan dan lapar menunggu di dalam kereta sehingga bantuan sampai?

Perlu dicari penyelesaian terhadap permasalahan ini supaya ia tidak berlarutan. Mungkin ramai yang tidak menyedari kesusahan yang dialami oleh rakyat berpendapatan sederhana yang mengguna Exora kerana ia tidak menjadi kenderaan harian mereka. Itu yang membuatkan mereka tidak sedar dan kisah.

Saya menyuarakan masalah ini kerana telah berlaku dua kali kejadian OCH kenderaan saya pecah di mana perbatuan tidak sampai 13,000 kilometer.

Saya difahamkan oleh pemilik bengkel yang menjadi wakil Proton, syarikat itu hanya akan mengganti OCH secara percuma sekiranya kenderaan masih di bawah perbatuan 40,000 km. Selepas daripada itu, pemilik dikenakan bayaran untuk setiap penggantian OCH.

Apa yang menjadi lebih pelik, ada pihak daripada bengkel luar yang boleh menawarkan dan membekalkan OCH yang dibuat khas dengan ketahanan tinggi kepada pengguna dengan kos tertentu sebagai penyelesaian jangka panjang.

Persoalannya, mengapa orang di luar sana boleh memikirkan penyelesaian bagi masalah yang dihadapi Proton sedangkan syarikat itu mempunyai jurutera hebat yang tidak dapat mengatasinya?
Buat masa ini, saya masih lagi membuat penyelenggaraan kenderaan dan mendapatkan peralatan alat ganti dari bengkel yang berdaftar dengan Proton kerana khuatir sekiranya menggunakan alat ganti daripada luar, jaminan kenderaan akan terbatal.

Rakyat berpendapatan sederhana tersepit dalam isu ini. Mohon pihak Proton membantu mencari penyelesaian kepada permasalahan ini.-UTUSAN

PEMILIK PROTON EXORA, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya