SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini sebuah iklan mempromosikan satu jenama ubat gigi yang dikatakan sesuai kepada pengguna yang memiliki masalah gusi dan gigi disiarkan di sebuah saluran televisyen swasta.
Apa yang kurang menyenangkan adalah di akhir iklan tersebut terdapat tiga gelas minuman berperisa oren dilagakan sebelum diminum.
Melagakan gelas bukanlah budaya tempatan sebaliknya ia budaya orang Barat terutama ketika meminum minuman keras.
Jadi, adalah wajar bagi pengiklan ataupun stesen televisyen peka tentang perkara ini. Walaupun dalam iklan tersebut mengandungi minuman halal tetapi budaya itu tidak sesuai dipertontonkan kepada masyarakat tempatan yang majoriti beragama Islam.
Sedangkan dalam Islam tidak pernah menyuruh umatnya melaga-lagakan gelas sebelum minum. Unsur-unsur tidak sihat yang ditayangkan tanpa disedari oleh pihak berwajib boleh mencorak pemikiran dan cara hidup kanak-kanak dan anak muda.
Memetik laman web http://e-smaf.islam.gov.my, menurut al-Bahuti, haram meniru perbuatan minum arak (seperti majlis keramaian yang melibatkan perbuatan mengangkat gelas sambil menyebut atau melaungkan perkataan-perkataan tertentu). Pelakunya perlu dihukum (ta’zir) walaupun air yang diminum adalah air yang tidak haram.
Harap pihak penyiaran, Jabatan Agama Islam dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) lebih sensitif terhadap setiap kandungan iklan yang mahu disiarkan sama ada di stesen televisyen kerajaan ataupun swasta.
Saya juga berharap iklan seperti ini tidak lagi disiarkan dalam mana-mana stesen televisyen. Kita tidak mahu aksi melagakan gelas menjadi ikutan rakyat Malaysia terutama generasi muda.-UTUSAN
PENONTON TV, Kuala Lumpur