SAUDARA PENGARANG,
RAMAI ibu bapa, guru dan pelajar menyambut baik pengumuman Kementerian Pendidikan mengenai pengoperasian sekolah untuk sesi 2022 yang bermula 21 Mac ini.
Setelah hampir dua tahun sesi persekolahan mengalami pelbagai ‘transformasi’ kesan daripada pandemik yang melanda dunia, sesi pengajaran dan pembelajaran di Malaysia mulai dibuka semula secara bersemuka untuk 2022.
Para ibu bapa, guru dan pentadbir sekolah perlu berganding bahu dalam usaha membuka semula sesi persekolahan pada tahun ini dengan mematuhi garis panduan yang telah dirancang.
Ibu bapa wajar melakukan perkara-perkara berikut untuk mengembalikan semula semangat anak-anak ke sekolah demi ilmu pengetahuan yang berguna untuk masa depan mereka.
Pertama, ibu bapa boleh memberikan kata-kata semangat kepada anak-anak termasuk menceritakan keseronokan belajar dan bersosial di sekolah.
Kedua, pergi ke sekolah dengan kelengkapan yang serba baharu bagi membangkitkan perasaan teruja dalam kalangan anak-anak.
Namun, tidak semua ibu bapa berkemampuan untuk menyediakan kelengkapan serba baharu. Oleh itu, sediakan kelengkapan mengikut kemampuan masing-masing.
Ketiga, mengajak anak-anak untuk bersama-sama membuat persediaan seperti membalut buku, membeli keperluan sekolah dan menyusun alat tulis.
Melalui penglibatan anak-anak membuat persiapan ini akan membuatkan mereka bersemangat untuk kembali ke sekolah.
Semoga kembalinya anak-anak ke sekolah dapat mengembalikan juga semangat mereka untuk menimba ilmu yang hampir pudar ‘dibunuh’ oleh virus. – UTUSAN
NURSYUHADA’ AB. WAHAB, Nilai, Negeri Sembilan